
GEELY GALAXY CRUISER 700 TAMPIL GAH, SUV ‘BOXY’ PERTAMA DENGAN KUASA 1,113HP
Geely secara rasmi memperkenalkan Galaxy Cruiser 700, SUV pertama syarikat itu yang mengangkat konsep rekaan “boxy” atau berkotak.
Model baharu ini turut membuat penampilan serentak di pentas antarabangsa, termasuk pameran khas di Milan, Itali pada 26 Julai.
Dari segi luaran, Galaxy Cruiser 700 menampilkan gril hadapan bersaiz besar bersama jalur lampu LED yang menggabungkan 84 unit LED. Lampu utama pula menggunakan 228 LED bagi setiap sisi, manakala lampu belakang berkonsep matriks menempatkan 708 LED merah untuk memberikan identiti yang lebih moden.
Geely menawarkan enam pilihan warna badan iaitu Baili Danxia Orange, Motuo Cangluan Green, Sayram Lake Blue, Midui Glacier Silver, Everest White Rock Rice dan Yadan Obsidian Black.

SUV ini berukuran 5,085mm panjang, 1,999mm lebar dan 1,912mm tinggi, dengan jarak roda 2,900mm. Penampilannya diperkemaskan lagi dengan tayar gantian bersaiz penuh yang dipasang pada pintu belakang.
Bagi keupayaan off-road, Galaxy Cruiser 700 mempunyai sudut mendaki hadapan 30 darjah, sudut pelepasan 31 darjah serta sudut tengah 24 darjah. Jarak kelegaan bumi minimum ialah 233mm, selain mampu meredah air sedalam 800mm. Ia turut dipadankan dengan tayar berdiameter luar 801mm.
Geely turut memberi penekanan terhadap kebolehan modifikasi dengan menyediakan lebih 50 titik pemasangan sedia ada. Menurut syarikat itu, sehingga 80 peratus aksesori off-road universal boleh dipasang tanpa pengubahsuaian besar, termasuk lampu tambahan, snorkel, platform bumbung, bampar hadapan dengan winch, pelindung casis dan pemegang tambahan pada pintu belakang.

Ruang kabin menggunakan susun atur simetri dengan pilihan warna putih-coklat, hitam-coklat atau hitam sepenuhnya. Kemasan kayu serta elemen inspirasi gunung turut digunakan bagi menyerlahkan suasana premium.
Sistem kokpit digital dipacu lima paparan utama yang terdiri daripada skrin infotainmen 15.4-inci, kluster instrumen digital 10.2-inci, skrin penumpang hadapan 12.66-inci, skrin kawalan belakang serta paparan head-up (HUD) 15.2-inci.
Semua paparan ini boleh memaparkan data pemanduan lasak seperti altitud, sudut cerun dan kedudukan kenderaan secara masa nyata. Pada masa sama, Geely masih mengekalkan sejumlah butang fizikal bagi memudahkan operasi ketika pemanduan mencabar.

Tahap penggunaan ruang kabin dikatakan mencapai 80.3 peratus. Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti sehingga 1,050 liter, selain terdapat 63 ruang penyimpanan di seluruh kabin.
Antara ciri keselesaan yang disediakan termasuk peti sejuk serba guna berkapasiti 18.5 liter yang mampu menyejukkan sehingga -6°C atau memanaskan sehingga 50°C.
Tempat duduk pula menggunakan struktur 10 lapisan kusyen serta dilengkapi fungsi pengudaraan dan pemanas. Tempat duduk hadapan turut menerima fungsi urutan 14 titik, manakala tempat duduk penumpang hadapan mempunyai perehat kaki elektrik dengan jarak larasan sehingga 280mm.

Tempat duduk hadapan boleh direbahkan sepenuhnya bagi menghasilkan ruang rehat sepanjang 1.72 meter, sementara tempat duduk barisan kedua boleh dilipat rata untuk menyediakan ruang muatan sepanjang 1.8 meter. Ketinggian dalaman maksimum pula mencecah 950mm.
Ciri premium lain termasuk bumbung panoramik dwi-bukaan seluas 0.99 meter persegi, sistem bekalan oksigen dalam kabin, sistem audio Flyme Sound dengan 23 pembesar suara serta pencahayaan ambien 256 warna.
Dari segi prestasi, Galaxy Cruiser 700 menggunakan sistem pacuan yang menghasilkan kuasa gabungan maksimum 830kW, bersamaan 1,113hp, sekali gus menjadikannya antara SUV paling berkuasa pernah dibangunkan Geely.
Harga rasmi serta senarai spesifikasi lengkap dijangka diumumkan selepas penampilan global model itu di Milan.



