Buletin

THAILAND LABUR DANA RM2.88 BILION, GALAK RAKYAT TUKAR KENDERAAN LAMA KEPADA EV

Kerajaan Thailand sedang merangka satu program bernilai 24 bilion baht (kira-kira RM2.88 bilion) bagi menggalakkan pemilik kenderaan lama beralih kepada kenderaan elektrik (EV), sekali gus menyokong usaha negara itu mengurangkan pelepasan karbon dan merancakkan semula industri automotif tempatan.

Program berkenaan menyasarkan penggantian kira-kira 80,000 kenderaan lama dengan EV, selain dijangka merangsang permintaan terhadap kenderaan elektrik yang semakin mendapat tempat di negara itu.

Menurut laporan Reuters, cadangan awal yang dibentangkan kepada jawatankuasa kerajaan pada Jun lalu memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan komersial seperti teksi, motosikal sewa, tuk-tuk, bas dan lori.

Bagaimanapun, kerajaan kini sedang menilai kemungkinan memperluaskan skim tersebut kepada pembeli EV persendirian yang memenuhi syarat ditetapkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa mekanisme bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat insentif berkenaan.

Beliau menjelaskan bantuan itu berpotensi diperluaskan daripada kenderaan komersial kepada kenderaan persendirian, selagi pemilik memenuhi syarat kelayakan yang bakal ditetapkan.

Usaha itu turut mendapat rangsangan selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand mengesahkan pelaksanaan pelan pinjaman kecemasan kerajaan bernilai 400 bilion baht (sekitar RM48 bilion). Keputusan tersebut memberi ruang kepada kerajaan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk projek berkaitan tenaga bersih dan pembangunan industri EV.

Cadangan berkenaan sebelum ini telah diluluskan kabinet pada Mei 2026, namun berdepan cabaran undang-undang daripada pihak pembangkang sebelum mahkamah memberikan lampu hijau untuk diteruskan.

Kementerian Pengangkutan kini telah mengemukakan cadangan rasmi kepada jawatankuasa yang dipengerusikan Kementerian Kewangan. Antara bentuk bantuan yang sedang dipertimbangkan ialah subsidi pembelian EV, pinjaman kadar faedah rendah serta insentif cukai kepada pemilik yang menukar kenderaan lama kepada model elektrik mengikut syarat usia kenderaan.

Jawatankuasa itu turut dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan projek yang dibiayai melalui dana pinjaman berkenaan bagi memastikan sasaran peralihan kepada mobiliti rendah karbon dapat dicapai.

Inisiatif baharu ini muncul ketika industri automotif Thailand berdepan cabaran ketara. Walaupun negara itu kekal sebagai hab pengeluaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara, jualan domestik pada 2024 mencatat paras terendah dalam tempoh 15 tahun, dipengaruhi hutang isi rumah yang tinggi serta syarat pembiayaan kenderaan yang semakin ketat, khususnya bagi segmen pikap.

Namun begitu, pasaran EV terus berkembang. Data Federation of Thai Industries menunjukkan jualan kenderaan di Thailand mencecah 621,166 unit sepanjang 2025, dengan 120,301 unit daripadanya ialah kenderaan elektrik. Dalam tempoh sama, jualan motosikal pula dianggarkan sekitar 1.7 juta unit.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Thailand turut menawarkan pelbagai insentif fiskal bagi menarik pelaburan dalam sektor EV. Langkah itu berjaya membawa masuk pelaburan melebihi AS$4 bilion (kira-kira RM16.36 bilion) daripada beberapa pengeluar automotif global termasuk BYD dan Great Wall Motor.

Bagaimanapun, pemain industri mengingatkan bahawa skim insentif EV sedia ada dijadualkan berakhir pada 2027. Tanpa dasar baharu sebagai kesinambungan, pertumbuhan industri automotif Thailand dikhuatiri akan kembali perlahan ketika persaingan dalam pasaran serantau semakin sengit.

Google ads
Back to top button