Buletin

SUZUKI CARS MALAYSIA JALIN KERJASAMA DENGAN FLUX, TAWAR LANGGANAN KENDERAAN LEBIH FLEKSIBEL

Suzuki Cars Malaysia menerusi Naza Eastern Motors memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FLUX bagi memperluaskan penawaran langganan kenderaan di Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahukan akses kepada kenderaan tanpa perlu memilikinya secara konvensional.

Kerjasama strategik itu menyasarkan golongan profesional muda, ekspatriat serta individu yang mengutamakan fleksibiliti dalam urusan mobiliti harian.

Sebagai permulaan, dua model Suzuki iaitu Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus akan ditawarkan menerusi platform FLUX.

Kedua-dua model itu memenuhi keperluan pengguna yang berbeza, dengan Fronx sesuai digunakan di kawasan bandar manakala Jimny AllGrip Plus menawarkan keupayaan pacuan empat roda (4WD) untuk aktiviti lasak dan pengembaraan.

Selain memperkenalkan model Suzuki kepada lebih ramai pengguna, kerjasama berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap konsep langganan kenderaan sebagai alternatif kepada pembelian secara pinjaman, di samping mengukuhkan kedudukan Suzuki dalam ekosistem mobiliti negara yang semakin berkembang.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan bersama Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia, Sivakumar Krishnan, serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, Aziz Ayman dan Pengarah Komersial FLUX, Christine A.

Mohd Rizal berkata, walaupun pemilikan kenderaan masih menjadi pilihan utama ramai rakyat Malaysia, permintaan terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel semakin meningkat sejajar perubahan gaya hidup pengguna.

Menurutnya, gabungan jenama Suzuki yang dipercayai dengan platform langganan FLUX mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman memandu tanpa terikat kepada komitmen pembiayaan jangka panjang.

Beliau berkata, perkhidmatan FLUX juga akan diperkenalkan di bilik pameran Suzuki terpilih supaya pelanggan yang belum bersedia membeli kenderaan dapat memahami bagaimana skim langganan itu berfungsi sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, Aziz berkata corak penggunaan kenderaan dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin berubah, dengan lebih ramai pengguna terbuka kepada konsep langganan berbanding pinjaman tradisional.

Katanya, menerusi skim itu, pelanggan tidak lagi perlu memikirkan urusan pinjaman, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan atau susut nilai kerana semuanya disatukan dalam satu bayaran bulanan tetap.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelanggan boleh menikmati pengalaman memiliki sebuah Suzuki tanpa bayaran pendahuluan, premium insurans tahunan atau kos penyelenggaraan yang tidak dijangka, sekali gus mengurangkan beban kewangan.

Malah, pelanggan yang melanggan ketika pelancaran program itu turut menerima kemudahan kenderaan gantian secara percuma sekiranya kenderaan mereka memerlukan penyelenggaraan, bagi memastikan penggunaan tidak terganggu.

Selepas MoU dimeterai, kedua-dua pihak akan memulakan pengenalan kumpulan pertama kenderaan Suzuki di platform FLUX, disokong oleh pelbagai kempen pemasaran digital serta promosi di rangkaian bilik pameran Suzuki di seluruh negara.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 dan pelancaran kerjasama tersebut, FLUX turut menawarkan diskaun eksklusif sebanyak 69 peratus bagi yuran langganan bulan pertama dan bulan terakhir untuk pelan langganan terpilih selama 24 hingga 36 bulan sehingga 6 September 2026.

Di bawah promosi itu, Suzuki Fronx 1.5 Hybrid 2025 yang lazimnya berharga RM2,225 sebulan boleh dilanggan pada kadar promosi RM690, dengan penjimatan keseluruhan RM3,070 bagi dua bulan.

Sementara itu, Suzuki Jimny AllGrip Plus 2026 pula ditawarkan pada kadar promosi RM1,016 berbanding harga asal RM3,278 sebulan, membolehkan pelanggan menikmati penjimatan sebanyak RM4,524.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan menerusi laman web FLUX atau mengunjungi bilik pameran rasmi Suzuki di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program langganan tersebut.

Google ads
Back to top button