Buletin

ISUZU DMAX 2021, SKOR 5 BINTANG EURO NCAP

Isuzu DMAX 2021 merupakan model pertama kenderaan 4×4 yang berjaya mendapat skor 5 bintang dalam ujian kemalangan EURO NCAP. Ini merupakan satu kemajuan yang besar dicapai oleh Isuzu dalam aspek keselamatan kerana kali terakhir Isuzu DMAX diuji dalam Euro NCAP ialah pada tahun 2012 dan berjaya mendapat skor 4 bintang sahaja.

Berbeza dengan prosedur pada tahun 2012, ujian pada tahun 2020 diubah dengan tambahan aspek brek kecemasan automatik AEB. Dalam ujian yang dibuat oleh Euro NCAP, 4 aspek utama yang diuji ialah perlindungan penumpang dewasa (DMAX mendapat 84%), perlindungan kanak-kanak (skor 86%), bantuan keselamatan yang merangkumi brek AEB dan Lane Keep Assist (83%) dan perlindungan kepada pejalan kaki serta penunggang basikal (69%).

Dalam ujian perlanggaran halangan (deformable aluminium barrier) pada halaju 50km/j, DMAX menawarkan perlindungan yang bagus pada pemandu dan juga penumpang depan disebabkan kerangka yang digunakan sangat kuat dan juga perlindungan tambahan dari 8 beg udara yang disediakan. 2 beg udara tambahan ialah beg udara perlindungan lutut dan juga beg udara tambahan antara penumpang depan.

Beg udara ini akan menghalang penumpang depan daripada menghentam sesama sendiri. Malah kerangka dan juga kabin DMAX juga mampu menahan impak dengan baik bagi hentaman sisi termasuk memberi perlindungan yang baik pada penumpang kanak-kanak yang menggunakan kerusi keselamatan.

Brek AEB juga mendapat skor yang tinggi apabila berupaya mengesan pejalan kaki dan juga penunggang basikal samaada waktu siang ataupun waktu malam. Sistem ini menggunakan kamera yang akan berfungsi sebaik sahaja halaju DMAX mencecah 8km/j. Sistem ini kurang efisyen jika pejalan kaki muncul secara tiba-tiba dari barisan kereta lain seperti dalam kesesakan jalan dimana DMAX telah merempuh patung ujian.

DMAX hanya mendapat skor 69% bagi ujian perlindungan pada pejalan kaki disebabkan isu ini. Manakala bagi keselamatan tambahan pintar Lane Keep Assist dan sistem pengesan bagi mengesan pemandu yang letih, DMAX mendapat skor 83%, satu skor yang tinggi bagi sebuah 4×4.

Ujian yang dijalankan oleh EURO NCAP ini menggunakan varian 1900cc turbodisel yang sama seperti dijual di Malaysia namun dengan pemanduan sebelah kiri. Tapi sayangnya ciri AEB dan Lane Keep Assist tidak ditawarkan. Cuma kami berharap jika Mazda membawa masuk ini sebagai model rebadge Mazda BT-50, ciri-ciri keselamatan ini akan dikekalkan.

Google ads
Back to top button