
HKS ADVANCED HERITAGE – TEKNOLOGI SUPERCAR MODEN KHAS UNTUK ENJIN RB26
Mana-mana yang tak kenal dengan kod enjin RB26 ni sila pergi main jauh-jauh. Inilah nadi sebenar Godzilla dari Jepun. Menjadi impian ramai termasuk penulis sendiri tapi sehingga sekarang ia masih kekal sebagai impian. Enjin ini memang istimewa tetapi yang pastinya ia sudah agak ketinggalan zaman menjelang tahun 2021 ini.

HKS, syarikat tuner yang sudah tidak asing lagi muncul menyelamatkan keadaan dengan memperkenalkan konsep Advanced Heritage khusus untuk menaik taraf enjin RB26 supaya setanding dengan enjin-enjin moden terbaru.
Mereka membuat beberapa ujian dan penambahan teknologi terkini untuk meningkatkan prestasi dan kecekapan enjin. Menariknya modifikasi terbaru ini mampu mengeluarkan sehingga 600 hp kuasa maksima tetapi dengan penjimatan bahan api sekitar 20 kilometer per liter. Jimat tu weh. Bukan itu sahaja, ia juga masih di bawah paras standard emission Jepun terkini.
Teknologi yang digunakan HKS ini sudah pun diguna pakai dalam kereta produksi hari ini tetapi masih belum wujud sebelum enjin RB26 ini diperkenalkan. Penambahan pertama ialah ialah sistem pre-chamber combustion yang diambil dari jentera perlumbaan F1.
Secara ringkasnya ia bermaksud campuran bahan api dan udara dinyalakan sebelum memasuki kebuk pembakaran bagi membolehkan pembakaran yang lebih pantas dan bersih terhasil. Ini sekali gus meningkatkan kuasa tetapi pada masa yang sama menjimatkan bahan api dan mengurangkan emisi ekzos.
Seterusnya ialah posisi pengecas turbo yang dilaras kembali untuk memastikan aliran udara yang lebih baik dan mengurangkan pressure loss. Penggunaan intake dual-plenum memastikan aliran udara yang lebih lancar selain merendahkan suhunya.
Injector berkembar memastikan suapan bahan api yang lebih baik selain meningkatkan nisbah mampatan untuk prestasi yang lebih baik.
Pakej enjin Advanced Heritage ini bagaimanapun akan dihasilkan berdasarkan permintaan pelanggan. Pelanggan berduit biasanya mahu terus memandu supercar klasik seperti Skyline R32 tetapi dengan teknologi terkini yang lebih berkuasa dan mesra alam. Maklumlah pejuang alam sekitar kan ramai sekarang ni.
Menariknya menurut ketua jurutera R35 GT-R, kuasa 600 hp adalah sangat sesuai untuk R32 milik beliau sendiri walaupun ia sudah memasuki alam kereta klasik. Nampak tak betapa teguh casis yang dihasilkan sehingga mampu menampung 600 hp kuasa tanpa sebarang masalah.
HKS belum mendedahkan berapa kos yang perlu dibayar untuk naik taraf terbaru ini tapi sudah tentu ia tidak semurah sebuah supercar keluaran Malaysia. Agak-agak HKS terima tak bayaran menggunakan buah pinggang dan pundi hempedu?