" "
Artikel Pilihan

JAY LENO KATA DIA TAK AKAN BELI FERRARI. INI SEBABNYA

Jay Leno merupakan penulis, pengacara television dan juga pelawak yang terkenal di Amerika. Namun selain dari dunia hiburan, Leno sebenarnya terkenal sebagai hartawan yang gemar mengumpul pelbagai jenis kereta dalam garaj khas di rumahnya.

Malah Leno turut menghasilkan satu rancangan khas dinamakan sebagai Jay Leno’s Garage yang menyimpan 286 buah kenderaan. Jumlah ini meliputi 169 buah kereta dan 117 buah motosikal dengan semuanya diuruskan oleh seorang pengurus khas.

Antara koleksi kereta beliau ialah 289 AC Cobra, 427 Shelby Cobra, Acura NSX, Audi R8 V10 Spyder, Ariel Atom, Aston Martin DBS, 1971 DeTomasso Pantera, 1981 DeLorean DMC-12, 2015 Dodge SRT Challenger Hellcat, Ford GT 2017, Ford Mustang Shelby GT350-R 2015, Lamborghini Countach 1986, Lamborghini Miura 1967, Mazda Miata, Mazda RX-8, McLaren F1 1994 dan banyak lagi

Pendek kata apa sahaja kenderaan istimewa yang pernah dihasilkan oleh pengeluar terkemuka di dunia pasti akan dibeli dan disimpan oleh Leno. Tapi di sebalik senarai panjang kereta yang dimiliki oleh Leno, tiada satu pun kereta jenama Ferrari yang dibeli dan disimpan oleh Leno

Dalam satu temubual atas talian pada tahun 2021 dengan rancangan permotoran Cars & Culture, Leno mendedahkan beberapa sebab dia enggan membeli Ferrari sebagai koleksi simpanan. Puncanya ialah bagaimana Ferrari mengendalikan perniagaan mereka dan memilih pelanggan yang dirasakan layak sahaja untuk membeli Ferrari terbaru.

Jika pelanggan di Amerika berminat dengan Ferrari, mereka perlu mencari pengalaman pemilikan dengan Ferrari dengan membeli unit terpakai. Dengan ini anda boleh membina hubungan dengan pusat servis Ferrari, cara hidup dengan jenama Ferrari dan jika reputasi anda cukup baik anda akan dijemput untuk membeli Ferrari yang terbaru

Dengan kapasiti pengeluaran yang rendah dan proses pemasangan dengan tangan, Ferrari rasa mereka berhak menentukan siapa yang layak membeli kereta mereka. Kalau mereka tidak suka dengan anda, maka anda tidak layak mendapat jemputan tersebut.

Dalam video di bawah Leno mengatakan dia lagi senang berurusan dengan McLaren disebabkan jika dia mahu sebuah supercar, maka McLaren akan membenarkan proses pembelian dengan mudah tanpa sebarang masalah dan syarat yang pelik-pelik.

Malah selepas beberapa bulan membeli, McLaren menjemput Leno untuk menaiktaraf supercarnya dengan kuasa kuda yang lebih tinggi. Dalam wawancara tersebut, Leno turut menceritakan bagaimana McLaren memberi nasihat teknikal serta enggan “up-sell” produk lain kerana Leno tidak membawa supercar tersebut ke litar perlumbaan

Nasihat ini menjimatkan duit Leno sebanyak 20,000 USD daripada pembelian yang sia-sia. Leno turut memuji Porsche yang menghantar supercar baru terus ke rumahnya dengan menggunakan lori tunda flatbed bersama-sama dengan 2 mekanik khas untuk mengajarnya beberapa perkara penting dalam penyelenggaraan.

Ikuti temubual pendek Jay Leno dengan Jason Stein dalam video di bawah yang memuji kereta Ferari adalah bagus tapi sangat memeningkan kepalanya dalam proses pembelian

Google ads
Back to top button