Artikel Pilihan

SUZUKI ESCUDO PIKES PEAK – JENTERA LAGENDA GRAN TURISMO

Siapa yang tak kenal dengan Suzuki Escudo Pikes Peak ni memang konfem korang ni jenis yang bela binatang digital Tamagotchi masa kecil dulu. Sama la dengan generasi pengejar Pokemon yang entah apa-apa tapi kalau main gasing pangkah-pangkah tu korang memang otai. Respek.

Sempena dengan perlumbaan Pikes Peak International Hill Climbs yang ke-100 minggu ini apa kata kereta imbas kembali jentera paling lejen dalam perlumbaan ini: Suzuki Escudo Pikes Peak. Inilah jentera penakluk sebenar Gran Turismo 2 dengan hampir 1000 hp kuasa maksima dan spoiler besar gedabak mengalahkan sofa 3-tempat duduk.

Gran Turismo 2 (GT2) diperkenalkan pada tahun 1999 dan Escudo Pikes Peak ni tak ada orang kenal lagi. Masa tu semua orang baca majalah mana ada website macam Mekanika ni. Abang Japar pun muka babyface lagi masa tu. Escudo ni pun tak popular sangat dalam mana-mana majalah permotoran. Dengar nama Suzuki pun takdelah bergetar sangat jiwa peminat kereta kecuali kau memang mat motor. Sandy Suzuki korang kenal tak?

GT2 ni memang berjaya dalam memperkenalkan dan mempopularkan kereta-kereta JDM. Dunia mula buka mata dengan kehebatan Skyline GT-R dan Supra JGTC yang dimuatkan dalam permainan ini. Tapi siapa sangka kesemua jentera hebat termasuklah wira-wira JGTC kena kunyah dengan Suzuki Escudo Pikes Peak macam datuk abang makan kacang putih je. Sayur dik… sayur.

Itu dalam permainan tapi di dunia sebenar pun Escudo ni memang gila. Ia direka dengan hanya satu tujuan iaitu untuk memenangi perlumbaan ke puncak gunung sejauh 27 kilometer dengan 156 selekoh dan mencapai ketinggian 14,115 kaki dari aras laut. Keseluruhan laluan tidak berturap tanpa pagar keselamatan. Paras oksigen di garisan penamat juga agak rendah menyebabkan anda akan cepat merasa penat walaupun cuma berjalan kaki dengan perlahan.

Escudo Pikes Peak ini dihasilkan secara kerjasama oleh Suzuki dan Nobuhiro “Monster” Tajima. Tak kenal jugak? Teruskan bermain tiktok wahai anak muda baru nak up. Ia dikuasakan dua enjin 2.5L DOHC V6 turbo berkembar. Satu enjin memacu tayar hadapan manakala enjin lagi satu memacu tayar belakang. Gabungan kedua enjin ini menghasilkan 981 hp kuasa maksima dan tork maksima setinggi 932 Nm! Kesemua kuasa ini disalurkan ke permukaan bumi menerusi kotak gear 6-kelajuan sequential dan sistem AWD.

Escudo Pikes Peak ini muncul ketika zaman kegilaan modifikasi ala JDM tengah memuncak. Spoiler tiang gol dan skirting sekeliling badan sudah menjadi perkara biasa sehinggalah kemunculan Escudo Pikes Peak dengan spoiler besar gedabak sebesar sofa jati rumah mak abang. Ia jauh lebih lebar berbanding Escudo asal atau lebih dikenali dengan nama Vitara di Malaysia.

Suzuki tiddak pernah mendedahkan berapa kuat downforce dihasilkan spoiler ini tetapi berdasarkan berat keseluruhan yang kurang dari 800 kilogram (ya tuan-tuan berat Escudo Pikes Peak ini sebenarnya kurang dari 800 kilogram), kereta ini dikatakan mampu melekat di dinding jika dipandu dengan kelajuan maksima. Sudah tentu ia belum pernah dibuktikan. Ia cukup ringan hasil penggunaan casis yang dihasilkan dari aluminium spaceframe.

Pemandunya, Monster Tajima yang merupakan bekas pemandu rali Nissan mula bertanding dalam perlumbaan Pikes Peak sejak tahun 1989. Walaupun kereta ini cukup popular hasil kemunculan dalam permainan GT2, hakikatnya Tajima tidak pernah sekali pun menang dalam perlumbaan Pikes Peak dengan Escudo ini.

Kedudukan terbaik pernah dicapai Tajima dengan Escudo ini dalam perlumbaan Pikes Peak ialah kedudukan kedua pada tahun 1996, 1998 dan 1999. Sekali pun tak pernah dapat tempat pertama.

Habis semua tu tipulah. Takdelah, Escudo ini pernah juga menang tepat pertama sebanyak tiga kali dalam perlumbaan yang serupa di New Zealand. Ia dikenali dengan nama Silverstone Race to the Sky dan Escudo menang tiga tahun berturut-turut dari tahun 1998 hinggalah tahun 2000.

Untuk rekod daripada 11 perlumbaan Silverstone Race to the Sky diadakan, 8 daripadanya telah dimenangi oleh Monster Tajima. Cuma dalam Rali Mentakab je Tajima tak pernah menang. Faham-fahamlah kenapa.

Bagi peminat Gran Turismo, anda boleh kembali bergumbira kerana jentera kesayangan ramai ini kembali muncul dalam Gran Turismo 7 dengan beberapa pembaharuan seperti pandangan dari kokpit buat pertama kali.

Kredit japanesenostalgiccars.com

Google ads
Back to top button