Artikel PilihanBuletin

JEEP WRANGLER G PATTON TOMAHAWK 6 X 6

Baru-baru ini di Chengdu Auto Show, China,

sebuah syarikat telah menunjukkan sebuah Jeep Wrangler Unlimited yang diubah suai dan dinamakan G Patton Tomahawk 6×6. Dengar nama pun dah cukup menggerunkan tetapi bagaimana dengan produk akhirnya.

Sebenarnya Jeep ini merupakan hasil kreativiti syarikat G Patton yang berpengkalan di Tianjin, China. Kemungkinan Jeep ini dipasarkan di negara lain adalah agak tipis tetapi siapa tahu mungkin ada satu atau dua unit yang akan dibawa masuk.

g-patton-tomahawk-jeep-wrangler-rear

Jika dilihat secara zahir pun memang inilah variasi Jeep Wrangler yang paling ganas setakat ini. Ia juga dilihat sebagai pencabar terdekat kepada Mercedes-Benz G63 AMG 6 X 6 yang telah dibawa masuk ke Malaysia baru-baru ini oleh Naza Motors.

Kenderaan ini juga dikatakan bakal menarik perhatian para penggemar 6×6 di negara yang paling ramai penduduk di dunia itu. Adakah ia akan berjaya dijual? Kenapa tidak, kerana untuk pengetahuan anda pasaran Lamborghini terbesar di dunia adalah di China. Jangan main-main.

Syarikat G Patton dinamakan bersempena dengan nama seorang jeneral yang popular, George Patton, yang memimpin tentera Amerika Syarikat di dalam Perang Dunia Kedua . Ini bukannya sesuatu yang pelik kerana Jeep memang merupakan kenderaan rasmi tentera Amerika sejak dari dahulu sebelum adanya Humvee.

g-patton-tomahawk-jeep-wrangler-hero

Sebenarnya kami agak suka dengan kenderaan bertemakan nama-nama tokoh popular ini. Ia boleh dikatakan hebat dan agak patriotik berbanding dengan Lamborghini yang asyik menggunakan nama lembu untuk supercar-supercar mereka. Di Malaysia kita ada menggunakan nama Leftenan Adnan untuk kereta perisai tetapi untuk kereta-kereta jalanan masih belum ada. Mungkin boleh letak nama Proton Zaiton Sameon misalnya.

Wrangler G Patton Tomahawk ini asalnya merupakan sebuah Wrangler Unlimited yang telah diubahsuai di bahagian belakang, dengan penambahan dek belakang dan bumbung hardtop yang dipanjangkan. Bahagian gandar belakang turut ditambah untuk menjadikkannya 6 X 6.

Bagaimanapun laporan Car News China menyatakan yang hasil buatan akhir tidaklah begitu memuaskan. Khususnya pada bahagian jajaran roda di mana ia kelihatan tidak begitu kemas.

Enjinnya masih menggunakan enjin 3.6 liter V6 Jeep tetapi kini ditambah dengan sistem supercharger RIPP. Bacaan kuasa maksima dan tork masih tidak diketahui tetapi kalau dah ditambah dengan supercharger memang tidak mustahil kuasa maksimanya akan melonjak sekitar 30 ke 40 peratus.

g-patton-tomahawk-jeep-wrangler-tyres

G Patton Tomahawk ini juga dilengkapi dengan rim-rim aloi bersaiz 17 inci yang kemudiannya dibalut dengan tayar-tayar jenama Mickey Thompson bersaiz 3.5 inci.  Bahagian gril hadapan turut direka semula

selain turut dilengkapi winch dengan kawalan jauh dan bar lampu LED 50 inci di bahagian atas cermin hadapan.

Kami tidak tahu sama ada kenderaan ini akan dipasarkan secara komersil ataupun tidak tetapi ideanya memang sesuatu yang cukup menarik. Sememangnya dunia modifikasi 4×4 sudah semakin berkembang. Dulu kita cuma ada kelab 4×4, selepas ni tidak mustahil jika ada kelab 6×6.

Tetapi pastikan poket anda cukup tebal kerana sepengetahuan kami buat masa kini cuma satu model 6×6 yang boleh didapati di Malaysia, Brabus G63 6×6 yang dipasarkan secara khusus oleh Naza Motor di Malaysia. Cuma 6 unit di bawa masuk dan sudah lebih separuh sudah dijual. Harganya? Sikit lagi nak sampai 7 digit.

Jika Wrangler G Patton Tomahawak ini dibawa masuk pun rasanya harganya pun akan lebih kurang sama dengan Brabus G63 6×6. Tetapi jika ada permintaan tidak mustahil Naza Motor akan membawa masuk model ini.

Rasanya kalau nak pandu uji Jeep ni pun kita kena celoreng muka kita dulu, baru sesuai. Kami juga ingin mencadangkan agar Jeep ini dilengkapkan dengan pod mesingan dan pelancar roket. Best tak idea ni?

 

 

 

 

 

Google ads
Back to top button