
JETOUR SHANHAI T1 PHEV DIDEDAHKAN – TAWAR JARAK GERAK 1,400KM, HARGA SEKITAR RM74K DI CHINA
Foto rasmi Jetour Shanhai T1, SUV plug-in hybrid off-road keluaran Chery Jetour, kini didedahkan dan dijadual dilancarkan pada suku keempat 2024.
Model ini dijangka akan mula dijual dengan harga pra-jualan bermula sekitar 110,000 yuan (RM74,000), menurut wakil pengedar.
Sebagai perbandingan, Jetour Shanhai T2 dijual pada harga 179,900 hingga 209,900 yuan (RM120,000 hingga RM140,000).

Dari segi reka bentuk, Shanhai T1 mengekalkan rupa bentuk yang sama seperti versi dipamerkan di acara auto sebelum ini.
SUV ini tampil dengan bentuk kotak yang tegap, dengan lampu depan berbentuk segi empat dihiasi dengan dua unit lampu segi empat kecil di setiap sisi.
Sementara, gril depan pula dilengkapi dengan lapan jalur cahaya segi empat.
Bagaimanapun, ciri popular seperti pemegang pintu tersembunyi dan tayar ganti di bahagian belakang tidak terdapat pada model ini.

Dimensi Jetour Shanhai T1 ialah 4,706mm panjang, 1,967mm lebar, dan 1,845mm tinggi, dengan jarak roda 2,810 mm, menjadikannya sebuah SUV kompak.
Ciri-ciri lain termasuk rim dengan reka bentuk seperti kelopak, rak bagasi di atas bumbung, dan skirt sisi yang diwarnakan hitam.
Di bahagian dalaman, SUV ini dilengkapi stereng rata, panel instrumen LCD penuh 10.25-inci, skrin pusat kawalan 15.6-inci, serta cip Snapdragon 8155.
Konsol tengah turut menampilkan tuil gear kristal, pengecasan telefon tanpa wayar 50W, dan pemegang cawan.

Dari segi prestasi, Shanhai T1 dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid 1.5T yang menggabungkan enjin 1.5T berkuasa 154hp/tork 220Nm, serta motor elektrik dan bateri 26.7kWh.
Sistem ini menawarkan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 117km dan penggunaan bahan api serendah 1.08L/100km.
Jarak keseluruhan dijangka mencecah 1,400km, dengan pilihan pacuan dua roda dan empat roda.
Menariknya, pada bulan September lalu, Jetour mencatatkan jualan sebanyak 60,226 unit, meningkat 87.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Shanhai T1 dijangka menarik minat lebih ramai pengguna apabila dilancarkan kelak.
- BACA: EON BERHAD, SOLS FOUNDATION JALIN KERJASAMA – BAWA TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI KEPADA KOMUNITI ORANG ASLI
- BACA: SKODA ELROQ – SUV EV PERTAMA DARI SKODA DENGAN KEUPAYAAN BERGERAK SEHINGGA 560 KM!
- BACA: BMW XM TAK LAKU, FAKTOR REKA BENTUK BURUK?
- BACA: TOYOTA PERKENALKAN ENJIN HIBRID TANPA ELEKTRIK DAN GASOLIN



