Buletin

JETOUR ZONGHENG F700 PHEV DIDEDAHKAN, JARAK GERAK CECAH 1,300KM

Jetour terus memperluaskan penawaran kenderaan hibrid plug-in mereka menerusi pendedahan rasmi trak pikap lasak baharu, Jetour Zongheng F700 PHEV.

Model ini dijangka membuat kemunculan sulung pada acara Auto Show Guangzhou yang bakal berlangsung November depan.

Jentera tersebut menggunakan sistem hibrid plug-in Kunpeng Super Hybrid CDM-O milik Chery yang digandingkan dengan enjin hibrid 2.0 liter turbo.

Gabungan itu menghasilkan kuasa 155kW bersama tork 340Nm, selain mencatat kecekapan haba sehingga 45.5 peratus. Untuk penggunaan lasak dan kerja berat, trak ini dibina dengan casis rangka berintegrasi berkekuatan tinggi bersama suspensi hadapan jenis double-wishbone bebas.

Dari sudut teknologi, Zongheng F700 menggunakan sistem elektrik 800V voltan tinggi yang menyokong pengecasan pantas.

Ia turut dipadankan dengan pek bateri CATL Shenxing 4C dua lapisan yang membolehkan tahap pengecasan meningkat dari 20 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 10 minit sahaja.

Gabungan kuasa elektrik dan enjin pembakaran dalaman itu membolehkan trak ini mencapai jarak perjalanan sehingga 1,300 kilometer.

Dalam masa sama, penggunaan bahan api rasmi dilaporkan serendah 1.39 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut kitaran ujian standard.

Dari segi dimensi, trak ini mempunyai panjang 5,495mm, lebar 2,050mm dan tinggi 1,985mm dengan jarak roda 3,350mm.

Pelanggan juga boleh memilih konfigurasi kabin empat atau lima tempat duduk. Ruang kargo belakang pula dilengkapi beberapa titik pengikat bagi memudahkan urusan membawa muatan.

Rekaan luaran menampilkan imej agresif dan berkotak dengan gril hadapan besar berbentuk segi empat bersama lampu nyalaan siang LED. Bahagian bampar turut direka khas untuk meningkatkan sudut mendaki ketika melalui laluan mencabar.

Beberapa elemen praktikal turut disediakan seperti pemegang pintu mekanikal tugas berat, rekaan bumbung semi-floating serta tangga sisi tambahan untuk memudahkan akses ke ruang belakang.

Di bahagian kabin, susun atur dalaman diinspirasikan daripada SUV G700 dengan paparan skrin terapung bersaiz 15.6-inci dan skrin panorama 35.4-inci yang menggunakan sistem operasi Zongheng OS.

Jetour Zongheng F700 PHEV bakal bersaing dalam segmen trak pikap premium yang ketika ini dihuni model seperti GWM Cannon dan BYD Shark.

Model ini disasarkan kepada pengguna yang mahukan gabungan kemewahan, teknologi moden dan kemampuan kerja lasak dalam satu pakej.

Google ads
Back to top button