Buletin

JMEV 01: KERETA SUKAN ELEKTRIK DENGAN ANGGARAN HARGA RM200K, TAWAR JARAK GERAK 520KM

Kereta sukan elektrik yang dahulunya dikenali sebagai SC-01 kini telah dijenamakan semula sebagai JMEV 01 dan baru-baru ini dikesan menjalani ujian jalan raya sebelum pelancarannya.

Dibangunkan oleh Tianjin Gongjianpai Auto Technology dengan sokongan daripada gergasi teknologi Xiaomi, JMEV 01 dijangka memasuki pasaran China dengan harga 300,000 yuan (anggaran RM200,000), sekali gus menjadi pencabar kepada MG Cyberster.

JMEV 01 mengekalkan rekaan asal SC-01 dengan lampu hadapan tajam, lampu belakang berbentuk bulat serta gaya roadster dua pintu.

Dimensinya pula berukuran 4,106mm panjang, 1,830mm lebar dan 1,170mm tinggi, dengan berat mencecah 1,365 kg—25 kg, iaitu lebih berat berbanding Porsche Cayman 987.

Dari segi prestasi, JMEV 01 dikuasakan oleh dua motor magnet segerak kekal daripada Empower yang menghasilkan 429hp dan mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Dalam ujian di Beijing’s Goldenport Park Circuit, model ini mencatat masa pusingan 1 minit 6 saat, setanding dengan Porsche 992 Carrera S.

Kereta ini dilengkapi dengan bateri NMC ternary yang dipasang di bahagian tengah, dibekalkan oleh CALB, namun kapasiti sebenar bateri masih belum didedahkan.

Tata letak ini membantu keseimbangan berat yang mirip kepada kereta sport enjin tengah seperti Lotus Elise dan Toyota MR2.

Selain itu, ia turut menyokong mod pacuan roda hadapan, belakang, semua roda serta mod sukan. Julat pemanduan mengikut penilaian CLTC adalah sejauh 520 km, dengan tempoh pengecasan dari 30 peratus ke 80 peratus di bawah 25 minit.

Sejak diperkenalkan pada September 2022, SC-01 telah mengalami pelbagai perubahan sebelum disenaraikan oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China sebagai sebahagian daripada jenama JMEV.

Jenama ini merupakan usaha sama antara Jiangling Motors Corporation (JMC) dan Renault, membolehkan model ini dijual secara rasmi sebagai JMEV 01.

Ditubuhkan pada 2015, JMEV menghadapi pelbagai cabaran di pasaran domestik dan antarabangsa. Walaupun Renault memegang kepentingan 50 peratus dalam syarikat itu, keempat-empat pengarah yang dilantik oleh Renault telah meletakkan jawatan pada 2023.

Google ads
Back to top button