
PIAM SOKONG LANGKAH KETAT JPJ TERHADAP KENDERAAN ‘TOTAL LOSS’
Cadangan pematuhan piawaian lelongan lebih ketat bagi kenderaan dikategorikan sebagai Beyond Economic Repair (BER) akibat rosak sepenuhnya merupakan satu langkah tepat.
Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dalam satu kenyataan berkata, usaha itu perlu bagi memastikan hanya kenderaan dianggap selamat dan layak digunakan di jalan raya dibenarkan kembali beroperasi.
“Keutamaan syarikat insurans adalah memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. Oleh itu, kenderaan diisytiharkan sebagai BER oleh syarikat insurans mesti dinilai dan dibaiki dengan betul.
“Semua dokumen diperlukan termasuk sijil kelayakan jalan oleh Penyedia Pemeriksaan Kenderaan diiktiraf mesti lengkap sebelum kenderaan tersebut dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.

Terdahulu, pada 19 Januari lalu, JPJ dilaporkan sedang meneliti isu kenderaan rosak sepenuhnya berikutan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada syarikat insurans.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli menekankan keperluan mematuhi piawaian lelongan lebih ketat bagi kenderaan dikategorikan sebagai BER dan Approved Treatment Facilities (ATF).
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kenderaan komersial diisytiharkan sebagai rosak sepenuhnya oleh syarikat insurans masih digunakan semula.
Kenyataan tersebut turut mencadangkan pemilik perlu memastikan kenderaan mereka dilindungi insurans yang mencukupi.
“Mereka boleh mempertimbangkan pilihan daripada syarikat insurans lain atau kembali kepada syarikat insurans asal yang mengisytiharkan kenderaan tersebut sebagai BER.
“Bagi kenderaan diisytiharkan sebagai rosak sepenuhnya atau Actual Total Lost (ATL), ia perlu dimusnahkan akibat kerosakan teruk yang tidak boleh diperbaiki,” jelasnya.
PIAM juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa termasuk menjalankan kempen kesedaran bagi mendidik pengguna terutamanya dalam menangani salah faham yang sering timbul mengenai kenderaan ATL dan BER.
“Syarikat insurans am dan takaful sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan seperti BNM, JPJ, Kementerian Pengangkutan (MOT), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) bagi menangani isu kenderaan ATL,” katanya. – Sinar Harian