
JUALAN PROTON NAIK 27%
Proton Holdings Bhd. (Proton) semalam mengumumkan bahawa pihaknya telah menjual 43,260 unit kenderaan dalam suku ketiga 2013. Ini merupakan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kenaikan tersebut didorong oleh maklum balas pengguna terhadap model Proton Saga SV yang diperkenalkan pada Jun 2013.
Menurut Proton, Saga SV membantu mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 72 peratus dalam jualan keseluruhan Saga pada suku ketiga tahun lalu berbanding suku kedua 2013. Dalam tempoh empat bulan, lebih 22,000 unit Saga SV telah didaftarkan.
“Saga SV akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama para pengguna untuk sedan entry level berikutan proposisi jualannya yang unik. Model ini juga telah menerima penarafan tiga bintang daripada Asean NCAP dan ditawarkan pada harga yang begitu kompetitif iaitu bermula hanya dari RM33,438 seunit,” kata Ketua Pegawai Operasi Proton (Komersial), Hisham Othman.
Tawaran terbaharu Proton, Suprima S, turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengguna sejak pelancarannya pada Ogos 2013.
Namun begitu, Hisham mengakui bahawa Proton masih berdepan persaingan yang amat sengit. Proton kini dilihat berusaha keras untuk kembali menjadi peneraju pasaran automotif di Malaysia.
“Orang ramai boleh melihat model baharu Proton dalam tempoh enam bulan akan datang. Pengenalan model-model baharu dibuat sebagai usaha memberi kepelbagaian yang menepati kehendak pelanggan. Tanpa berkompromi dengan aspek kualiti dan keselamatan,” tambah Hisham.