
PROTON LANCAR PERSONA SV
Selepas sukses dengan varian Saga SV yang diperkenalkan pada Jun lalu, Proton melebarkan program varian SV (Super Value) kepada model sedan popularnya, Persona.
Persona SV dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim pada Karnival Pandu Uji Mega Bola! Bola! Bola! Proton yang berlangsung sekarang hingga esok di Stadium Shah Alam, Selangor.
Sebagai satu varian SV, model tersebut ditawarkan pada harga yang amat menarik iaitu RM44,938 untuk versi manual dan RM47,938 (AT) di atas jalan termasuk insurans. Varian asal Persona sebelum ini ditawarkan pada harga sekitar RM47,500 seunit. Dengan harga itu, anda boleh memiliki sebuah Persona SV pada harga bermula serendah RM388 sebulan sahaja!
Sebelum anda meneka dengan lebih jauh, ingin saya beritahu bahawa apa yang ‘hilang’ daripada Persona SV hanyalah visor pada pada bahagian tingkap dan cermin sisinya perlu anda laras secara manual.
Kekurangan itu bagaimanapun diganti dengan sistem brek ABS, EBD, empat brek cakera dan beg udara berkembar. Saiz rim tetap sama, 15 inci yang dibalut oleh tayar bersaiz 195/60. Macam mana? Memang berbaloi-baloi.
Persona SV mengekalkan enjin Campro 1.6 liter IAFM yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 110hp @ 6,500rpm dan tork 148Nm @ 4,000rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan. Sedan itu turut dilengkapi sistem audio 1 DIN, stereng kuasa, tali pinggang keledar pra-regangan dan cermin sisi dengan lampu isyarat membelok.
“Kami mensasarkan jualan Persona SV sebanyak 2,400 unit sebulan. Tetapi kami yakin angka itu mungkin lebih lagi berdasarkan kepada jualan varian Saga SV yang sudah mencecah lebih 42,000 unit sehingga hari ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Proton, Hisham Othman.
Ditanya mengenai ujian keselamatan ASEAN NCAP terhadap Persona SV, Lukman menyatakan bahawa memandangkan Persona telah dilancarkan sejak tahun 2007 dan penarafan ASEAN NCAP pula adalah untuk model-model baharu seperti Suprima S, maka Proton ada rancangan tersendiri pada masa akan datang.
Sama seperti model Persona sebelum ini, Persona SV hadir bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 50,000 kilometer. Warna-warna yang ditawarkan ialah putih, gangsa, hitam, perak merah, hijau dan satu warna baharu, biru.
[hr]Galeri



























