
TOKYO, JALAN-JALAN TENGOK ORANG
Saya tak bolehkan salahkan siapa-siapa. Kereta yang ada di Jepun sememangnya boleh membuatkan sesiapa jadi teruja. Tidak percaya? datang sini tengok. Di sini, Toyota 86 atau Subaru BRZ dah macam Proton Saga SV, boleh jumpa merata-rata. Untung juga jadi orang Jepun ni sebenarnya.
Sebelum makan tengah hari di sebuah restoran Itali di Odaiba, kami dibawa berkunjung ke salah sebuah cawangan Super Autobacs paling besar di Jepun yang terletak di Shinonome. Autobacs ni macam pusat sehenti untuk barangan kereta.
Semuanya ada di bawah satu bumbung. Anda hendak tayar, rim, sistem audio kereta, hon atau alat penjagaan kereta? Tiada masalah, semua ada di sana. Kalau rajin nak belek satu-satu, banyak juga benda menarik yang boleh dibeli. Lepas tu bolehlah cerita satu pejabat bila balik ke Malaysia nanti.
Di sebelah Autobacs, terletak sebuah kedai berkonsep sama, tetapi khas untuk motosikal. Memandangkan saya tidak bercadang untuk membeli apa-apa, jadi lepak di luar kedai sahajalah.
Sambil ‘pow’ air kopi tin panas kawan dari Harian Metro, mata sibuk melihat kumpulan bikers yang tidak putus-putus mengunjungi premis berkenaan. Boleh tahan popular sampai lokasi itu, sampai sudah jadi macam jadi tempat lepak sambil minum air yang dibeli daripada vending machine dan hisap rokok.
Kebanyakannya terdiri daripada pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang tahap umurnya sudah ada cucu dua tiga orang. Mereka datang menaiki pelbagai jenis jenama motosikal. Mungkin baru dapat duit pencen. Duit tak tahu nak buat apa, beli motor pun bagus juga.
Apa yang lebih menarik, motor lama dan baru macam sama banyaknya. Kondisi motor pun boleh dipuji, memang terjaga, bersih dan tetap mengiurkan.
Sejam berada di sana, rombongan Cik Kiah dibawa pula menaiki bas menuju ke lokasi yang menjadi tumpuan anak-anak muda berpakaian pelik-pelik, Harajuku. Tetapi malangnya, walaupun selepas penat berjalan meronda kawasan komersial tersebut, budak-budak yang pakai baju tidak terjangkau akal itu tidak sampai lima orang pun yang kami jumpa.
Saya masih ingat ketika mengunjungi kawasan sama kira-kira tiga atau empat tahun dulu, kumpulan remaja berpakaian pelik itu cukup ramai. Tidak terkira jumlahnya. Tetapi sekarang dah tak ada. Dah insaf agaknya.
Bagi orang Muslim, mencari makanan yang halal (ayam dan daging) di bandaraya Tokyo sebenarnya sedikit mencabar. Kalau tak pandai baca atau cakap bahasa Jepun, memang balik bilik hotel makan Maggi sahajalah jawabnya.
Tetapi kini, tidak perlu risau lagi kerana ada seorang usahawan Melayu dari Malaysia sudah membuka restoran makanan berasaskan daging dan ayam yang halal di sana. Berlokasi di kawasan Minato-ku, dekat Roppongi, saya mesti bagitahu bahawa daging yang dihidangkan dalam keadaan mentah dan perlu dipanggang sendiri oleh pelanggan itu memang sangat sedap.
Sedap sampai sekarang masih ingat dan lambat nak siap tulis artikel (alasan, pada hal tak ada idea. hahaha). Jadi, kalau anda kebetulan datang ke Tokyo dan ingin merasai sendiri keenakan daging lembu Jepun, cuba cari maklumat restoran ini di laman web: www.sumiyakiya.com



























