
SUPRIMA S DAHULUI CARIAN GOOGLE 2013
Tinggal 13 hari lagi, kita akan menyambut tahun baru 2014. Sebelum itu, apa kata kita lihat yang menjadi trending di enjin carian internet terkenal, Google sepanjang tahun ini.
Dikenali sebagai Year End Zeitgeist, Google menyenaraikan carian paling banyak mengikut kategori tertentu. Carian pengguna internet dibahagikan kepada beberapa kategori seperti carian umum di Malaysia 2013, trending individu, siri TV Malaysia, filem tempatan, filem antarabangsa, selebriti Malaysia, kereta dan banyak lagi.
Memandangkan Mekanika Malaysia ni laman web pemotoran, kita cerita pasal kereta la kan? Takkan nak sembang tentang drama-drama Melayu macam Setia Hujung Nyawa, Teduhan Kasih, Cinta Jannah atau Adam dan Hawa. Idok le teman…
Baiklah. Menduduki takhta carian tertinggi untuk kategori kereta ialah Proton Suprima S yang dilancarkan oleh Proton pada Ogos lalu. Menjadi hatchback premium pertama Proton, Suprima S mencetus rasa ingin tahu yang cukup tinggi dalam kalangan pengguna tempatan.
Berada di tempat kedua ialah model Proton Saga SV. Model itu sehingga kini terus mendapat sambutan hangat berikutan harganya yang murah dan berbaloi untuk dimiliki.
Sedan entry level daripada Nissan, Almera pula menduduki tempat ketiga. Dengan ruang kabin yang luas, pelbagai ciri menarik dan kekuatan jenama Nissan, Almera menjadi antara model Nissan paling laris di Malaysia.
Jenama Korea nampaknya semakin mendapat perhatian apabila Kia Cerato menjadi model keempat
paling banyak dicari di enjin carian Google. Kia Cerato ialah sedan segmen C yang menggantikan model Kia Forte. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Kia Forte ialah model yang beranggungjawab menaikkan nama Kia di pasaran tempatan.
Tempat kelima ialah model sedan segmen B popular Toyota, Vios. Vios generasi baharu itu menerima perubahan drastik terutama pada penampilan luaran dan dalamannya.
Senarai ini diteruskan dengan Kia Rio yang berada di tempat keenam. Ia diikuti oleh Peugeot 208, Proton Preve, Ford Kuga dan Lamborghini Veneno.
“Google ialah enjin carian utama buat rakyat Malaysia mendapatkan maklumat atau meneroka perkara dan individu baharu, Year End Zeitgeist merupakan barometer tentang apa yang menjadi peristiwa dan trend di Malaysia pada tahun 2013,” kata Ketua Komunikasi dam Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof.















