MAZDA MX-5 MIATA 35th ANNIVERSARY EDITION – DAH DEWASA MIATA NI
Bersempena dengan ulang tahun Miata yang ke 35, Mazda telah melancarkan satu edisi khas Miata yang dinamakan 35th Anniversary Edition. Model ini dilancarkan di Fuji Speedway hujung minggu lepas sewaktu Mazda Fan Fiesta 2024. Spesifikasi penuh tidak diberikan tapi kami menjangkakan tidak ada perubahan dari segi kuasa dan ianya lebih kepada kosmetik dan mungkin juga sedikit perubahan pada pengendalian.
Ia ditawarkan dalam versi soft top dan hard top dan dilayangkan dengan warna merah eksklusif. Cat tiga lapisan istimewa itu telah diperkenalkan beberapa tahun lepas pada SUV Mazda.
Varian hard top menerima rim bersaiz 17 inci dan varian soft top 16 inci. Paling tak tahan penutup soft top yang berwarna beige tu. Ia mungkin kelihatan sesuai digunakan di dalam kenderaan keluaran Volvo tapi entah macam mana Mazda merasakan ia turut sesuai pada MX-5. Punoh.
Bahagian dalam turut menerima layangan cat yang sama pada beberapa bahagian seperti bahagian atas pintu, dalam corong penyaman udara dan kunci kereta itu sendiri.
Mana lengkap model edisi khas tanpa logo istimewa. MX-5 ini mempunyai logo yang disulam pada bahagian perehat kepala selain pelapik kaki khas yang membezakannya dari MX-5 standard.
Entah bagaimana Mazda memilih tempat duduk biasa berbanding edisi 30th Anniversary sebelum ini yang menggunakan tempat duduk Recaro.
Begitu juga dengan sistem brek dan penyerap hentak. Jika edisi ulang tahun ke 30 mengunakan sistem brek Brembo di hadapan dan penyerap hentak Bilstein, model ini tampil berbeza dengan sistem brek dan penyerap hentak standard. Mungkin kali ini Mazda lebih mementingkan keselesaan dan bukannya berfokuskan pemanduan sporty.
Jadi kalau nak MX-5 yang sporty, boleh tunggu Mazda Miata RS yang sebelum ini didedahkan kepada umum di Tokyo Auto Salon. Ia merupakan model istimewa berfokuskan perlumbaan dengan sistem brek dan suspensi yang dipertingkatkan. Baik tunggu yang ni kot.