
KAIYI KUNLUN – SUV TUJUH TEMPAT DUDUK TERBAHARU DARIPADA KAIYI AUTO
Kaiyi Auto, sebuah perusahaan otomotif dari China akan melancarkan model SUV tujuh tempat duduk terbaharu mereka, Kaiyi Kunlun. Kaiyi Auto (sebelum ini dikenali dengan nama Cowin Auto) adalah syarikat yang dimiliki oleh Chery Automobile yang telah diasaskan pada tahun 2014.
SUV Kaiyi Kunlun ini sememangnya mampu menarik minat sesiapa sahaja dengan rekaan yang kelihatan moden dan bergaya terutamanya pada fascia hadapan. Rekaan gril bahagian hadapan yang besar dan garang cukup menyerlah. Rekaan gril yang seakan bersambung dengan lampu utama yang seperti langsung tidak kelihatan.
Lampu utama menggunakan LED itu telah disusun menurun di kiri dan kanan. Manakala lampu DRL pula menghiasi di sepanjang garisan bampar dari bawah hingga ke atas. Garisan DRL kemudiannya turut dipasangkan pada bahagian atas gril berhampiran logo Kaiyi ini.

Rekaan yang radikal ini diteruskan di bahagian belakang dengan lampu seumpama taring mengapit kiri kanan. Terdapat juga lampu LED yang merintangi bonet belakang bagi mengelakkan ianya kelihatan pelik. Tip ekzos berkembar empat serta bampar belakang yang mempunyai difuser itu menambahkan lagi rupa yang radikal serta garang.
Khabarnya buat masa ini Kaiyi Auto bakal memperkenalkan dua trenkuasa, 1.6 liter turbo dan juga 2.0 liter turbo, yang mana ianya enjin yang sama turut digunapakai oleh Chery Tiggo 8. Khabarnya juga enjin yang dipasang pada Kaiyi Kunlun ini ada sedikit perubahan kuasa; 250 HP dan 390 Nm berbanding enjin terdahulu 195 HP dan 290 Nm.

Ruangan kabin pula menampilkan elemen mewah apabila menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit. Paling menonjol dalam kabin adalah penggunaan sistem infohiburan daripada Huawei Hicar dan Tencent TAI 4.0, yang diposisikan sedikit ke bawah di tengah konsol. Sistem infohiburan ini turut dilengkapi dengan dengan kawalan arahan suara.
Walau pun mungkin model ini bakal bersaing dengan Chery Tiggo 8, namun Kaiyi Kunlun ini sebenarnya lebih besar dan panjang berbanding saudaranya itu. Lebih menarik lagi, apabila varian hibrid turut dijangka diperkenalkan kepada yang inginkan penjimatan bahan bakar.

Kaiyi Kunlun ini dijangka bakal menawarkan pilihan sama ada lima atau tujuh tempat duduk kepada bakal pembeli. Harga untuk model ini yang dijangka sekitar Yuan 119,900 (RM76,744).
BACA : CHERY SAH LANCAR OMODA 5 DAN TIGGO 8 PRO DI MALAYSIA 1H 2023. CKD, BAKAL ADA 30 PENGEDAR

