Motosikal

KAWASAKI ANJUR KURSUS TUNGGANGAN SELAMAT

Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) baru-baru ini melancarkan program Kawasaki Safety & Responsible Riding Course di Litar Antarabangsa Kart Sepang, Selangor.

Program yang julung-julung kali dianjurkan itu mendapat kerjasama daripada Kawasaki Heavy Industries Ltd dan K-TEC Corporation Japan.

Program korporat sosial tersebut bertujuan memberi peluang kepada pemilik jentera Kawasaki untuk mempelajari aspek keselamatan dan tunggangan secara teori serta praktikal dengan lebih berkesan.

Kursus yang membabitkan sesi pembelajaran selama sehari itu bakal dilaksanakan dua sehingga tiga kali sebulan. Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim memberitahu, sesi pembelajaran tersebut diberikan secara percuma kepada pemilik motosikal Kawasaki atau yang bakal memiliki motosikal itu.

“Buat masa sekarang, kami memberi tumpuan kepada pemilik Kawasaki Lembah Klang sebelum program ini diperluaskan ke lokasi-lokasi lain.

“Kami percaya bahawa kursus tunggangan keselamatan ini dapat membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal,” kata Jeffrey.  

Kajian menunjukkan bahawa antara kesalahan trafik yang paling kerap dilakukan oleh penunggang motosikal adalah  menunggang melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, memotong di laluan berkembar dan menunggang di laluan kecemasan.

Justeru, kursus ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap serta kemahiran tunggangan yang sewajarnya.

Kursus itu dikendalikan pelatih berpengalaman dan diiktirafkan oleh K-TEC dan Kawasaki Jepun. 

 
Google ads
Back to top button