
Buletin
KBS RALLY SPRINT 2024 – MITCH CHONG MEMBUAT KEJUTAN UNTUK MENANG
Musim perlumbaan rali yang dijangka hangat dan moga tidak hangit bagi musim 2024 telah membuka tirai dengan berlangsungnya siri pertama KBS Rally Sprint 2024 bertempat di MAEPS Serdang. Lantas apa yang menarik sepanjang tempoh acara perlumbaan rali tersebut? Jom kita baca ulasan yang sempat BK jengah perlumbaan tersebut.
- Sebelum berlangsungnya perlumbaan pembuka tirai musim rali ini, penganjur X-One Motorsports Club turut menganjurkan KLASS Rally 2024 bagi mereka yang ingin mendapatkan pendedahan asas tentang apa itu perlumbaan rali yang turut diadakan di MAEPS, Serdang seminggu sebelumnya.

- Untuk perlumbaan kali ini, sejumlah 21 penyertaan telah diterima (namun hanya 20 yang memulakan perlumbaan) dan seperti diduga ianya mungkin baru awal tahun. Mungkin ada kekangan bagi peserta regular. Maklumlah, baru lepas cuti dan hendak musim buka sekolah. Ketiadaan seperti Shah Bandi dan Rellik Niezarm mungkin sedikit dirindui. Subaru GC8 yang dipandu Shah Bandi sedang menjalani proses baik pulih bahagian badan kereta manakala Niezarm sedang mempersiapkan kereta rali baharu untuk digunakan kelak.
- Acara flag-off telah dimulakan tepat jam 8.00 pagi dengan dihadiri oleh Timbalan Presiden MAM Dato’ Mohammad Rhiza Ghazi dan juga Ketua Korporat MARDI Cik Rahayu Abdul Razak dalam keadaan cuaca yang baik dari pagi hingga ke petang.

- Perlumbaan Rally Sprint pembuka tirai 2024 ini telah dimenangi oleh Mitch Chong yang memandu Proton Satria (P11) bersama Juruarah Fadzli Ishak dari pasukan Magnax Racing Team. Laju betul Satria lama ni dia punya pergi. Untuk rekod, Mitch Chong ini sebenarnya merupakan peserta Gymkhana dan hanya memandu Proton Satria dengan enjin yang bersesaran 1.8 liter NA sahaja.

- Tempat kedua diraih rakan sepasukan Haji Sutan Mustaffa yang memandu Subaru Impreza bersama Juruarah Victor Chong. Kalau tengok cara pemanduan, memang Haji Sutan cuba mendapatkan catatan masa terbaik. Kurang 24 saat sahaja untuk mengejar Mitch Chong di akhir perlumbaan. Dia punya late braking pun ngeri sedap sedap tengok depan mata oi!

- Tempat ketiga pula diraih pasangan suami isteri, Shafiq Shamsudin dan juga Sasha Farina bersama Suzuki Swift ZC32. Sebelum ini mereka memandu Toyota Vios, tetapi mungkin tidak cukup laju dan agak sopan bunyi yang dihasilkan. Tetapi Suzuki Swift ini lain macam dia punya pergi dan bunyi. Dia punya bingit memang elok buat kejut orang bangun sahur nanti. Shafiq cuma ketinggalan 40 saat sahaja di belakang Haji Sutan.

- Tempat keempat menjadi milik pemandu lejen rali negara, Karamjit Singh. Kalau yang tak pergi tengok, mungkin ada yang berkata bahawa beliau sudah tidak lagi laju. Walhal sebenarnya Karamjit Singh bersama Juruarah Daveender Singh yang memandu Mitsubihsi Evo 8 mengalami masalah mekanikal hingga menjejaskan prestasi pemanduan. Dengar khabar, Evo 8 yang dipandu Karamjit sudah bertahun – tahun tidak dihidupkan. Terkejut agaknya tiba – tiba sahaja disesah sebegitu rupa oleh sang lagenda.

- Tempat kelima keseluruhan pula diraih oleh pasukan East Coast Rallying dengan Honda Jazz GE dipandu oleh Syakirin Razaki bersama Juruarah Amir Izham. Keputusan ini pastinya menggembirakan pasukan yang berpangkalan di Terengganu tetapi menggunakan jentera yang disiapkan di Kuala Lumpur serta Proton Satria warna Silver yang masih juga berada di Kuala Lumpur kerana memperolehi keputusan yang lebih baik berbanding Rally Sprint Disember lalu. Malah, mereka juga mendapat tempat pertama untuk kelas P10.

- Tempat kedua tahun sudah, Zahid Latiff yang pada mulanya dikhabarkan tidak akan turut serta mengubah fikiran untuk tetap turut serta bersama Kanchiul Daihatsu Mira L5 beliau. Malang menimpa apabila tie-rod end belah kanan hadapan patah ketika beliau hampir sahaja untuk menamatkan perlumbaan di awal perlumbaan. Pun begitu, beliau tetap kembali setelah kereta lipas kudung beliau berjaya diperbaiki. Sempat mencatatkan masa ketiga terpantas ketika saingan Leg 2. Cukup untuk membuktikan bahawa jentera kecil ini bukan main – main dia punya laju. Memang serupa lipas lepas kena sembur Ridsect dia punya pergi.

- Penyandang juara, Saladin Mazlan yang berpasangan dengan Arish Qutb pula akur bahawa perlumbaan kali ini tidak memihak kepada mereka sama sekali. Jelas sekali masalah ECU yang mengakibatkan Mini Deus mereka ‘sebu’ dan tak mahu pergi langsung. Khabarnya, ECO MoTeC M4 yang berusia puluhan tahun akhirnya sudah sampai ke penghujung hayatnya. Menurut Nik Ammar selaku Pengurus Pasukan Terbaik Asia Tenggara, mereka akan mengabadikan ECU tersebut di dalam sebuah Muzium bagi mengenang jasa dan pekertinya selama ini. (Ok acah aja. Jangan percaya sangat)
- Menurut Saladin Mazlan yang sempat ditemubual, sebuah jentera rali baharu sedang disiapkan dan tinggal sikit sahaja lagi untuk diuji pandu. Sudah tentu ianya akan digunakan buat berlumba di luar negara kelak dengan jentera yang lebih baharu dan moden. Dan perancangannya, Mini Deus ini mungkin akan tetap digunakan beliau khusus untuk perlumbaan Rally Spring atau pun diserahkan kepada anak beliau, Ibrahim Saladin untuk berlumba. Oh ya, Ibrahim Saladin tidak turut serta edisi kali ini kerana ada kuliah yang harus diutamakan di UK sana.

- Seorang lagi pemandu rali, Faidzal Alang turut mengalami masalah dengan Mitsubishi Lancer beliau dan terpaksa ditunda keluar untuk menuju ke Service Park.
- Rally Sprint kali ni juga menyaksikan kemunculan semula Purnama Rally Team untuk bersaing dengan rakan BK, si Hahsrul Jamaluddin bersama Juruarah Ruzana Tukimin (emak saudara kepada Hashrul) beraksi bersama Honda Integra DC2. Rasanya ini merupakan pertama kali Hashrul memandu DC2 ini secara kompetetif (sebelum ini beliau hanya beraksi di Rally Shakedown sahaja) Terima kasih kepada Wak Jamal yang akhirnya mengarahkan si Hashrul agar bersaing pada Rally Sprint kali ini Mungkin ianya sebagai isyarat bahawa Purnama Rally Team bersedia untuk beraksi lebih kerap musim ini kelak. Oh ya, Purnama Rally Team juga sebenarnya mempunyai sebuah jentera yang power dan handal, Evo 7 RS. Entah siapalah yang nak pandu jentera buas tersebut nanti.

- Kategori Rookie juga boleh tahan menarik apabila dua kereta Perodua Kembara Merah dan juga Perodua Kelisa yang masing – masing dipandu oleh Muhammad Farid Adley Anuar dan Juruarah Wan Muhammad Akhasah serta Ahmad Fazlan dan Juruarah Ridwan Bachotang berjaya menamatkan perlumbaan. Paling menarik, mereka adalah lepasan KLASS Rally 2024.

- Seperti biasa, pasukan hiburan tak lagha yang diketuai oleh En Bob dan juga Reefi turut memeriahkan suasana dengan menemubual peserta dan juga ulasan secara langsung terhadap perlumbaan. Syabas anak muda sekalian.
- Akhir kata, berkalung tahniah diucapkan kepada penganjur yang memilih untuk terus ketar lutut daripada membiarkan kawan kawan yang lain untuk ketar lutut sama. Berjumpa lagi Rally Sprint pusingan berikutnya. Dan semoga tahun ini dunia rali terus bersinar.
BACA : SALADIN MAZLAN SEKALI LAGI MENGUNGGULI RALLY SPRINT 2023
BACA : KBS RALLY SPRINT RD 1 – SALADIN MAZLAN MENANG DENGAN BERGAYA