BuletinMotosikal

MODENAS AKAN PASANG MOTOR KAWASAKI DI GURUN KEDAH

Ini berita yang baru disampaikan dalam satu sesi dialog yang sedang berlangsung sebentar tadi antara media dan pengurusan Modenas. CEO Modenas En Roslan Roskan menjawab soalan pihak media memberitahu dalam langkah meneruskan kerjasama bersama Kawasaki, Modenas akan mula memasang motosikal Kawasaki dan MUNGKIN akan dijenamakan kepada Modenas.

Menarik kan?

Ya. Ini adalah fasa kedua setelah Kawasaki menambah pegangan saham dalam syarikat motosikal tempatan itu pada April tahun lalu.

Dalam satu urusniaga yang dipersetujui bersama tahun lepas, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) telah memeterai perjanjian dengan Kawasaki Heavy Industries, Ltd (KHI) untuk menjual 14,300,00 unit saham biasa di dalam Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS).

Dengan perjanjian tersebut, KHI yang sudahpun memiliki 19% saham MODENAS telah meningkatkan ekuitinya menjadi 30%. Jualan saham tersebut adalah atas dasar persetujuan bersama di antara pembeli dan penjual pada nilai RM40.3 juta.

KHI juga akan membeli 52,000,000 saham keutamaan boleh tukar (convertible preference shares, CPS) yang akan dikeluarkan oleh MODENAS. Apabila ditukar, pegangan ekuiti KHI di dalam syarikat motosikal nasional tersebut akan meningkat kepada 48%.

Kawasaki tidak lagi bertindak sebagai pemegang saham kecil sebaliknya telah terlibat terus dalam operasi dan juga pengeluaran produk.

Sebetulnya, kilang MODENAS di Gurun, Kedah memiliki kapasiti pengeluaran sehingga 130,000 unit setahun. Malah produk-produk awal MODENAS diasaskan kepada model-model Kawasaki.

Jadi model apa yang akan dihasilkan? akan jadi lebih murah kah?

CEO Modenas enggan menjawab lanjut pertanya model yang akan dipasang, jenis model dan kapasiti enjin, namun melihat pada keadaan pasaran semasa Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd, kami yakin, mereka akan memasang model-model CKD aras bawah seperti Ninja 250, SL, ER6 dan Versys.

Adakah ia akan jadi Modenas Versys, Modenas Ninja 250?

“Saya tak dapat menjawab soalan anda. Cuma kami dalam fasa terakhir untuk buat keputusan ini. Harap anda tunggu pengumuman rasmi dari Modenas,” ujar Roslan lagi.

Setelah diasak dengan soalan-soalan tambahan lain, Roslan sekali lagi memberitahu supaya pihak media menunggu pengumuman rasmi dari Modenas.

………………………………………..

Antara persoalan yang diajukan ialah;

  • Model apa akan dipasang?
  • Jika Modenas memasang Ninja 250, Versys 250 (dengan anggapan inilah persetujuan had kapasiti enjin 250cc) apa jadi dengan Kawasaki Malaysia?
  • Jika Modenas memasang kesemua model Kawasaki CKD hari ini (Ninja 250, ER, Vulcan, KLX, DLL), adakah Kawasaki Malaysia akan jual model-model CBU sahaja? Akan jadi sama seperti operasi Suzuki Malaysia?
  • Jika kemungkinan ini terjadi, akan berlaku pertindihan pasaran kerana Modenas juga memasang dan menjual Motosikal Bajaj 160cc, NS200cc, dan Dominar 400cc?
  • Apa jadi dengan kedai konsep Kawasaki yang mana merupakan pelaburan besar pengedar motosikal Kawasaki di seluruh Malaysia?

Pandangan kami…

Mengikut logik industri, kami berpendapat Kawasaki akan “menyerahkan” model-model CKD kepada Modenas untuk dipasang di kilang mereka di Gurun Kedah yang mempunyai fasiliti mencukupi, bukan sekadar untuk pasaran tempatan, tapi juga untuk pasaran eksport.

Kawasaki akan gunakan kemudahan ini dan Modenas akan berkongsi pasaran untuk motosikal kapasiti lebih besar, sesuatu yang tidak mereka miliki sebelum ini.

Mereka boleh menjual ER6 dan Versys 650cc dengan lencana Modenas dan menjadi pengeluar barisan lengkap seperti mana Boon Siew Honda, Yamaha, Benelli dari motosikal moped 110cc hingga 650cc.

Kawasaki Motors Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa dengan memfokuskan jualan model CBU seperti H2, ZX-10, ZX-6, GTR, H2SX.

Mengenai pertindihan model dengan Bajaj pula, Modenas secara logiknya akan meletakkan Bajaj sebagai motosikal entry level, berbajet rendah sementara Modenas-Kawasaki akan jadi motosikal premium untuk peminat tersendiri.

Sehingga pengumuman dibuat oleh Modenas, semua persoalan tambahan ini belum ada jawapannya. Apa yang sah dan pasti, Modenas akan memasang motosikal Kawasaki tidak lama lagi.

Google ads
Back to top button