
KEMPEN RECALL UNTUK KEMASKINI PERISIAN, ELON MUSK SIFATKAN NHTSA KETINGGALAN ZAMAN
Tesla baru-baru ini mengumumkan kempen recall melibatkan kira-kira 1.1 juta unit kenderaan di Amerika Syarikat disebabkan oleh masalah tingkap kuasa yang mampu mengakibatkan jari tersepit.
Namun, kempen panggil balik ini tidak memerlukan pemilik untuk menghantar kenderaan yang terjejas ke pusat servis, sebaliknya masalah tersebut akan diselesaikan menerusi kemaskini over-the-air.
Cara agensi National Highway traffic Safety Administration (NHTSA) mengendalikan kempen panggil balik ini nampaknya tidak disenangi oleh CEO Tesla, Elon Musk.
Beliau mencadangkan supaya NHTSA berhenti memanggil kemaskini perisian OTA itu sebagai kempen panggil semula, memandangkan ia tidak langsung melibatkan panggil balik secara fizikal.
Pendirian CEO Tesla itu mempunyai asas, di mana terma recall yang digunakan ini dilihat mampu memberikan tekanan yang tidak diperlukan, di mana para pemilik mungkin berfikir mereka perlu membawa kenderaan mereka untuk diperiksa.
Tambahan pula, dengan menggunakan terma panggil semula itu mampu menjejaskan reputasi jenama itu, memandangkan ramai yang membaca berita akan berfikir Tesla sebenarnya sedang memanggil kembali 1.1 juta unit kenderaan untuk menggantikan komponen bermasalah.
Namun begitu, pihak NHTSA berpendirian setiap pengeluar perlu mengumumkan kempen recall untuk apa jua proses pembaikan, termasuklah kemaskini perisian. – InsideEVs