Buletin

TOYOTA TUTUP KILANG PEMASANGAN KERETA DI RUSIA

Disebabkan krisis berlarutan antara Rusia-Ukraine, Toyota mengumumkan untuk menutup sepenuhnya operasi pengeluaran kenderaan di kilang Saint Petersburg, Rusia.

Langkah ini tidak menjadikan Toyota terus keluar daripada pasaran tersebut, sebaliknya mereka akan terus wujud di sana untuk menyokong operasi runcit serta khidmat selepas jualan.

Toyota sebelum ini menangguhkan sementara operasi di fasiliti Saint Petersburg pada 4 Mac, kira-kira seminggu selepas Rusia melancarkan serangan mereka.

Sekatan yang dikenakan ke atas Rusia turut menjejaskan rantaian bekalan, walaupun Toyota dilapor bersedia untuk memulakan semula operasi kilang pada bila-bila masa sekiranya berlaku sebarang perubahan.

Namun, dalam kenyataan terbaharu, Toyota tidak merancang untuk memulakan semula operasi pemasangan kenderaan di sana, sekaligus menjadikan penutupan fasiliti itu bersifat kekal.

Kilang Saint Petersburg mula dibina pada tahun 2005, dan operasi pemasangan kenderaan hanya bermula pada tahun 2007.

Dengan kapasiti penuh, kilang tersebut mampu untuk memasang 100,000 unit kenderaan setahun, di mana Toyota menggunakan fasiliti itu untuk memasang sedan Toyota Camry dan SUV Toyota RAV4.

Google ads
Back to top button