Artikel Pilihan

KENAPA BREK KERETA BERKARAT? BOLEH CAT TAK?

Anda baru sahaja membawa pulang kereta baru dari pusat jualan. Kereta anda diparkir di depan rumah bersinar sinar sehingga menjadi buah mulut jiran tetangga. Hidung anda kembang kempis bila mendengar pujian kereta baru anda. Bila waktu malam, kereta anda diselimut agar tak terkena hujan.

Tapi bila bangun pada waktu pagi, anda menjadi sakit hati sebab nampak ada kesan karat di bahagian cakera brek depan. Kereta dah berkilat, tapi brek nampak berkarat. Sebab tak mahu masalah brek berkarat ini bertambah teruk, anda terus pandu ke pusat servis untuk membuat aduan.

Tapi ajaibnya bila tiba di pusat servis karat di cakera brek sudah hilang. Tapi tahukah anda sebenarnya cakera brek dihasilkan daripada besi melalui beberapa proses. Biasanya besi terpakai akan dikitar semula dengan kaedah peleburan di dalam furnace sehingga menjadi cair

Besi cair ini tadi akan dituang dalam acuan sand casting, disejukkan dan dimesin dalam mesin CNC bagi menghasilkan ukuran yang dikehendaki oleh pengeluar. Sifat semulajadi besi ialah ia akan berkarat apabila terdedah kepada 2 elemen iaitu udara dan juga air.

Besi akan bertindakbalas dengan udara dan air bagi menghasilkan lapisan karat yang berwarna perang. Tapi sebaik sahaja anda memandu kereta, lapisan karat ini akan tertanggal dengan sendiri apabila ia bergesel dengan pelapik brek sewaktu proses membrek.

Pergeseran antara cakera brek dan pelapik brek ini tadi akan memperlahankan dan akhirnya menghentikan kereta anda apabila pedal brek ditekan. Dalam proses ini, tenaga kinetik yang dimiliki oleh kereta akan ditukar kepada tenaga haba apabila brek berfungsi.

Jadi sistem brek anda akan menjadi panas apabila dipandu lama menuruni kawasan berbukit. Apabila haba terhasil, brek cakera yang dihasilkan daripada besi akan bertindak sebagai konduktor haba yang sangat bagus. Ia akan memindahkan haba dari sistem brek kepada udara persekitaran dengan pantas.

Rekaan cakera brek juga memainkan peranan dalam tujuan penyejukan. Jika anda perhatikan dengan teliti, anda akan dapati cakera brek sebenarnya berliang (ventilated disc) dengan tujuan memaksimakan proses penyejukan. Sesetengah rekaan cakera brek dihasilkan dengan kaedah cross drill, lubang ditebuk secara menegak bagi tujuan penyejukan

Haba perlu disingkirkan dengan cepat kerana haba boleh menyumbangkan pada peningkatan suhu yang menyebabkan brek hilang prestasi brek atau disebut sebagai brake fade. Nampak tak disini, sistem brek bekerja dan terdedah kepada udara di sekeliling.

Tambahan pula cuaca di Malaysia yang sentiasa hujan, maka adalah normal untuk cakera brek berkarat. Dengan harga besi yang munasabah, adalah menjadi kebiasaan bagi pengeluar menghasilkan cakera brek daripada besi. Melainkan anda memandu kereta sport dengan brek yang dilapisi tungsten ataupun seramik karbon yang tidak akan berkarat

Karat pada cakera brek adalah tidak berbahaya, melainkan anda membiarkan kereta selama beberapa tahun tidak dipandu sehingga cakera brek berkarat sepenuhnya, bukan lagi pada bahagian permukaan saja. Maka pilihan yang baik pada ketika itu ialah menukar cakera brek baru dan pelapik brek baru

Cakera brek juga akan mengalami kehausan dan menjadi nipis apabila kereta semakin berusia. Apabila ia semakin nipis, heat conduction tidak sebaik ketika ia mula digunakan. Proses pengembangan cakera ketika panas dan pengecutan ketika sejuk tidak akan berlaku secara sekata. Cakera brek akan mudah bengkok (warp) dan solusi mudah ialah menukar cakera baru.

Ini dah wajib tukar

Jangan sesekali mengecat atau meletakkan minyak pada cakera brek kerana ia akan menyebabkan prestasi brek akan terganggu, mungkin akan menyebabkan kemalangan. Seperti yang kami sebut tadi, anda boleh menaik taraf kepada cakera brek yang menggunakan silika dan gentian karbon. Harganya tak murah ya tuan-tuan.

Google ads
Back to top button