Artikel PilihanBuletin

INI KERETA YANG BERJAYA DIPANDU LEBIH DARI 1 JUTA BATU!

Tahukah anda ada pengeluar yang memberi jaminan untuk sesetengah komponen untuk seumur hidup kereta? Waranti sampai bila-bila? Memang ada tetapi perlu waspada.

Apabila pengeluar yang memberikan waranti seumur hidup atau life time warranty anda perlu semak definisinya. Sesetengah kereta dibuat untuk kitaran pemanduan sehingga 350,000 km sebelum ia memerlukan baik pulih total.

Jadi, seumur hidup bermakna 350,000 km dan bukan sampai bila-bila tidak berpenghujung dan bertepian.

Walau pun begitu ada tidak kereta yang dipandu lebih daripada jarak tersebut? Ada termasuk yang masih segar-bugar. Sebenarnya ia bergantung kepada tahap penggunaan dan penyelenggaraan kereta. Pakai dan jaga dengan cermat.

Kereta yang usianya panjang juga bergantung kepada teknologi, lebih ringkas teknologi lebih mudah dijaga selain dari mudah mencari alat ganti dan mekanik.

Berikut kami senaraikan pemilik dan model yang berjaya dipandu lebih dari sejuta batu atau 1,609,344 kilometer. Menariknya senarai yang dikumpulkan laman carbuzz ini menghimpunkan kereta buatan Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman.

1. Honda Accord 1990

Kredit: Carbuzz

Biasanya kereta yang dikaitkan dengan tahan lasak dan tahan jahanam ialah Toyota. Tidak semestinya sebab Honda Accord tahun 1990 milik Joe LoCicero ini telah dipandu lebih daripada sejuta kilometer.

Accord ini adalah buatan kilang Honda di Ohio dan menariknya Joe bukan pemilik pertama. Beliau membelinya dalam keadaan terpakai pada tahun 1996 dengan jarak perbatuan 119,091 km.

Cara penjagaannya memang teliti, segala penyelenggaraan dari penggiliran tayar (tire rotation), penukaran minyak sehingga pengisian minyak (sungguh) dicatatkan di dalam lebih sedozen buku catatan.

Selain itu Joe bukan tinggal di tempat yang panas dengan cuaca baik seperti di Selatan California tetapi di Maine dengan keadaan cuaca yang dingin dan bersalji.

Tuah badan apabila selepas mengetahui keadaan baik kereta ini Honda telah menghadiahkan sebuah Accord baharu pada penghujung 2011!

2. BMW 325i

Kredit: Carbuzz

Ini kisah menarik. Tidak semua kereta dibeli oleh individu. BMW 325i ini dibeli oleh syarikat minyak Mobil 1 pada tahun 1990 untuk menguji minyak pelincir.

Pemilihan itu dibuat kerana enjin sebaris enam silinder 2.5 liter yang ideal untuk ujian jangka masa panjang. Mobil merasakan ini adalah eksperimen yang menarik jika BMW tersebut dapat dipandu sehingga sejuta batu.

Jawapannya ialah memang berjaya tetapi bukan di atas jalan raya biasa. BMW ini diletakkan di atas platform bergerak macam treadmill tu (jadi bukan dipandulah) dan kemudian dipasangkan dengan tangki minyak untuk bekalan tanpa henti dan kelajuan ditetapkan pada 85 bsj.

Kereta ini bergerak di atas platform sehingga empat tahun dan sampai saja ke jarak sejuta batu mekanik membuka enjin untuk melihat bahagian dalaman.

Keputusan yang didapati ialah hanya sedikit geseran yang berlaku dan enjin masih lagi dalam keadaan spesifikasi kilang seperti kereta baharu.

3. Dodge Ram 2500

Kredit: Carbuzz

Trak pikap memang patut tahan lasak. Jika tidak boleh baik jangan jadi pikap. Dodge Ram 2500 milik Dan Edelman ini dipandu hingga mencecah sejuta batu pada tahun 2010.

Rahsia pemilikannya tidak pelik pun, hanya penyelenggaran dengan kerap sahaja.

Pikap ini tidaklah sempurna sehingga segala-galanya baik. Apabila sampai masanya, Dan menggantikan radiator, starter, generator dan pam.

Dan juga percaya salah satu sebab kenapa traknya dapat tahan lama ialah kereta komponen enjin mekanikal. Hanya enam komponen adalah elektrikal. Injektor dan pam minyak pun masih menggunakan teknologi mekanikal.

4. Lexus LS400

Kredit: Carbuzz

Ini kaum keluarga Toyota, jadi tidak hairan sangatlah. Lexus LS400 tahun 1966 ini dimiliki oleh Matt Farah yang memang suka dan banyak koleksi kereta. Lexus ini memang digunakan kenderaan harian dan dibeli secara terpakai. Masa beli pun odometer dah tinggi iaitu 850,000 batu.

Matlamat Matt ialah supaya Lexus miliknya dipandu sehingga lebih sejuta batu. Jadi apa yang beliau buat ialah pinjamkan sahaja kepada kawan yang dipercayai jika memerlukan pemanduan jarak jauh.

Kereta ini memang lasak dan ada komponen yang sudah tidak berapa elok seperti pembesar suara dan stereng berkuasa. Walaupun dah berusia 22 tahun kereta ini masih berjalan elok dan macam tak reti-reti nak jahanam.

Hebat kan?

Sumber: Carbuzz

BACA: KERETA REMPUH MOTOSIKAL BERTEDUH DI BAWAH JAMBATAN – TIPS ELAK JADI MANGSA

BACA: TIPS KESELAMATAN KANAK-KANAK DALAM KERETA – IBU BAPA SILA BACA!

Google ads
Back to top button