,
Artikel PilihanBuletin

KHABAR ANGIN SEDANG BERTIUP KENCANG TENTANG HONDA CIVIC TYPE-R GENERASI BARU

Lupakan pasal seorang penulis perempuan yang menyuruh orang muda beli Honda BR-V untuk memikat wanita dan kita fokus pada topik yang lebih serius. Ini pasal Honda Civic Type-R yang sekarang tengah heboh kerana varian Limited Edition terkini telah mencipta rekod kelajuan terbaru di litar Suzuka, Jepun.  Ia merupakan model terkini untuk tahun 2020 tetapi masih lagi model yang sama yang telah dilancarkan pada tahun 2017.

Jadi dengan kata lain, Type-R yang ada sekarang sudah pun berusia lebih tiga tahun dan semestinya Honda sudah memulakan perancangan untuk membangunkan Type-R generasi baharu. Sekurang-kurangnya itulah khabar angin yang kini sedang tersebar dari Jepun.

BestCarWeb.jp baharu sahaja melaporkan yang sumber dalaman mereka menyatakan yang Type-R generasi baharu bakal dibekalkan dengan enjin berkuasa 400 hp dan sistem pacuan all-wheel-drive. Ini berbeza sama sekali dengan khabar angin sebelum ini yang menyatakan Honda akan mengekalkan enjin 4-selinder turbo sedia ada dengan tetapan FWD.

Apa yang kami faham, sumber tersebut menyatakan yang Honda kemungkinan besar akan menggunakan enjin 2.0L turbo 4-selinder asal tetapi akan dikacukkan dengan sepasang motor elektrik yang akan menggerakkan tayar belakang. Enjin tersebut pula akan menggerakkan tayar hadapan sama seperti model sedia ada. Rasanya ia bukan sesuatu yang sukar untuk Honda.

Tambahan pula Honda memang perlu melakukan sesuatu kerana pihak pesaing kini sedang rancak mengeluarkan model-model yang setanding dengan Type-R mereka. Renault bakal menyerang dengan Megane RS Trophy, Volkswagen dalam usaha mengeluarkan Golf GTI generasi manakala Hyundai pula menggunakan Hyundai Veloster N sebagai senjata utama. Perodua pula mungkin mencabar dengan Myvi GT. Kami rasalah, jangan marah aaa.

Honda mempunyai dua pilihan sama ada untuk menaik taraf tetapan yang sama seperti sekarang ataupun berevolusi dengan prestasi dan teknologi yang lebih tinggi yang semestinya akan menelan belanja dan memakan masa yang panjang.

Perlu diingat dalam keadaan industri sedang bangkit dari wabak pandemic Covid-19, Honda sama juga dengan pengeluar lain semestinya perlu menjimatkan wang sebaik mungkin. Model prestasi tinggi seperti Type-R memang sangat penting kepada Honda tetapi ia bukanlah lubuk duit mereka.

Tapi walau apa pun keputusan yang mereka akan ambil, ia mestilah diambil dalam masa terdekat kerana saingan dalam segmen ini sudah semakin sengit. Ekzos Hyundai i30 N pun sekarang dah meletup-letup macam jentera perlumbaan bro.

Tags
Google ads
Back to top button