Artikel Pilihan

GT-R BAHARU BAKAL MUNCUL PENGHUJUNG DEKAD INI – KATANYA HIBRID

Nissan GT-R generasi R35 telah pun ditamatkan pengeluarannya Februari lepas dan tiada sebarang khabar berita tentang penggantinya. Nissan memang telah beberapa kali memberikan harapan kepada peminat dengan model-model konsep dan perancangan masa depan mereka tapi gagal memberikan anggaran masa bila GT-R baharu akan muncul.

Kini dunia automotif dipanaskan dengan berita terbaru dari Nissan North America bila salah seorang eksekutif mereka menyatakan bila GT-R baharu akan muncul dan bagaimana rancangan Nissan.

Chief Planning Officer Nissan North America, Ponz Pandikuthira dalam satu temubual bersama The Drive telah mendedahkan secara terperinci perancangan Nissan. Menurut Pandikuthira, GT-R generasi baharu merupakan model hibrid gabungan kuasa bateri dan enjin enam selinder turbo. Malah beliau memberikan jangka masa tiga ke lima tahun untuk kereta ini diperkenalkan.

Keputusan untuk menghasilkan model hibrid dipersetujui setelah sekian lama spekulasi tersebar menyatakan kereta halo terbaru Nissan merupakan sebuah EV. Malah mereka telah mendedahkan model konsep pada 2023 yang dinamakan Hyper Force yang memaparkan logo seakan-akan logo GT-R.

Sambung Pandikuthira lagi, Nissan telah pun menghasilkan prototaip yang menyerupai GT-R akan datang namun mereka masih lagi bergelut kerana ia perlu sentiasa dicas jika dipandu dengan agresif. Contohnya sebaik selesai satu pusingan di litar Nurburgring jentera konsep itu perlu dicas kembali. Ooo letih kalau macam tu. Masa cas pun bukannya sekejap.

Walaupun Nissan komited dengan enjin hibrid enam selinder turbo, mereka belum memutuskan sistem hibrid mana yang akan digunapakai. Kemungkinan besar mereka akan memastikan GT-R baharu ini boleh bergerak sejauh 100 kilometer dengan mod elektrik sepenuhnya. Jadilah untuk pergi beli roti kat kedai serbaneka.

Walaupun masih diperingkat perancangan, harapan untuk menyaksikan dan mungkin memiliki GT-R generasi baharu masih ada. Jika dilancarkan pada penghujung dekad ini, ia memang kena pada masanya, kita akan menyambut ulang tahun generasi R35 ke 20 tahun.

Google ads
Back to top button