Artikel Pilihan

9954 EV DIUJI, SEMUA KEKAL BATERI 90% LEPAS 100,000KM

Salah satu kebimbangan terbesar bakal pembeli kereta elektrik (EV) ialah jangka hayat bateri. Ramai beranggapan bateri EV akan cepat rosak atau mengalami degradasi teruk selepas beberapa tahun penggunaan. Namun satu kajian terbaru dari Sweden memberikan gambaran yang agak berbeza.

Kajian yang dijalankan oleh syarikat jual beli EV terpakai Carla dengan kerjasama pakar diagnostik bateri AVILOO menganalisis 9,954 ujian kesihatan bateri (State of Health – SoH) yang dilakukan antara tahun 2022 hingga 2026. Kesemua data diperoleh daripada EV sebenar yang telah digunakan di jalan raya selepas kenderaan mencapai kira-kira 100,000 km (62,000 batu).

Daripada hampir 10,000 ujian tersebut, Kia e-Niro 64 kWh mencatat keputusan terbaik dengan baterinya masih mengekalkan 97.25% kapasiti asal. Di tempat kedua ialah Hyundai Kona Electric 64 kWh dengan 97.18%, diikuti Kia EV6 yang masih mempunyai 95.95% kapasiti bateri. Senarai 10 terbaik adalah seperti berikut:

  • Kia e-Niro – 97.25%
  • Hyundai Kona Electric – 97.18%
  • Kia EV6 – 95.95%
  • Volvo XC40 Recharge (CATL) – 94.70%
  • Polestar 2 (CATL) – 94.35%
  • Tesla Model 3 (CATL LFP) – 93.30%
  • Audi e-tron 55 – 92.96%
  • BMW iX3 – 92.90%
  • Skoda Enyaq iV 80 – 92.80%
  • Volkswagen ID.3 – 91.70%

Kajian ini juga mendapati walaupun Volkswagen ID.3 berada di kedudukan terakhir dalam senarai tersebut, baterinya masih mengekalkan lebih 91% kapasiti asal selepas melepasi 100,000 km. Satu lagi dapatan menarik ialah bukan semua model daripada jenama yang sama mencatat keputusan serupa.

Sebagai contoh, Tesla Model 3 yang menggunakan bateri CATL LFP menunjukkan kadar degradasi yang lebih rendah berbanding beberapa Model 3 generasi awal yang menggunakan bateri daripada Panasonic. Ini menunjukkan bahawa kimia bateri, sistem pengurusan bateri (BMS), strategi penyejukan serta pembekal sel bateri mungkin memberi kesan lebih besar terhadap ketahanan bateri berbanding logo yang tertera pada bonet hadapan.

Walaupun keputusan ini cukup meyakinkan, ada satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana semua data diperoleh di Sweden, sebuah negara yang mempunyai suhu jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Di Sweden, suhu tahunan lazimnya berada sekitar 0 hingga 15°C, manakala musim panas pula jarang melebihi 25°C.

Sebaliknya di Malaysia, suhu siang hari sering mencecah 32 hingga 35°C, malah permukaan jalan atau ruang parkir terbuka boleh menjadi jauh lebih panas.

Adakah cuaca Malaysia mempercepat degradasi bateri?

Jawapannya, berkemungkinan ya, tetapi tidak semestinya secara drastik. Kajian-kajian akademik sebelum ini menunjukkan bahawa haba merupakan musuh utama bateri lithium-ion. Suhu yang tinggi boleh mempercepatkan tindak balas kimia di dalam sel bateri dan menyebabkan kapasiti berkurangan sedikit demi sedikit.

Namun begitu, kebanyakan EV moden menggunakan sistem penyejukan cecair (liquid cooling) bagi memastikan suhu bateri sentiasa berada dalam julat optimum ketika memandu, mengecas DC pantas atau ketika cuaca panas. Dengan kata lain, walaupun Malaysia jauh lebih panas berbanding Sweden, EV moden direka dengan mengambil kira keadaan operasi dalam pelbagai iklim.

Kajian ini memberi satu petunjuk bahawa kebimbangan mengenai bateri EV mungkin semakin kurang relevan untuk model-model moden. Jika selepas kira-kira 100,000 km kebanyakan EV masih mempunyai lebih 90% kapasiti bateri, ia menunjukkan teknologi bateri hari ini jauh lebih tahan berbanding persepsi ramai.

Namun begitu, persoalan yang lebih menarik ialah bagaimana prestasi bateri tersebut selepas 200,000 km atau 300,000 km dalam iklim tropika seperti Malaysia. Itulah data yang mungkin lebih dekat dengan realiti pengguna tempatan dan pastinya menarik untuk diperhatikan dalam beberapa tahun akan datang.

Google ads
Back to top button