Buletin

KIA TASMAN – INILAH DIA TRAK PIKAP PERTAMA DARI KIA

Pengeluar kenderaan terkemuka dari Korea Selatan, Kia Motor telah pun memperkenalkan model trak pikap pertama mereka, Kia Tasman yang menampilkan sisi berbeza untuk penampilan sebuah trak pikap lain daripada yang lain.

Memanfaatkan lebih daripada lima dekad kepakaran membangunkan kenderaan tujuan khas, termasuk juga model off-road, Kia Tasman ialah trak pikap yang benar-benar transformatif yang memenuhi keperluan aktiviti kerja dan riadah dengan mudah.

Menurut Ho Sung Song selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia, model trak pikap pertama mereka ini dibangunkan dari asas untuk mengubah pasaran dan bertindak balas kepada keutamaan yang semakin meningkat untuk trak berorientasikan gaya hidup dengan ciri-ciri canggih dan sejajar dengan slogan baharu Kia, Selami Dimensi Baharu.

Pasukan reka bentuk Kia sengaja menjauhi bahasa reka bentuk biasa yang telah mendominasi genre pikap selama beberapa dekad. Ianya jelas dapat dilihat pada rekaan bahagian rupa hadapan yang kelihatan agak berbeza untuk sebuah tipikal trak pikap.

Walau pun tampak mungkin berbeza dengan model Kia yang lain tetapi rekaan gril masih lagi berorientasikan Kia Tiger Face. Cuma mungkin gril tersebut sedikit lebar sekali gus memberikan ilusi akan kelebaran pada sudut pandang hadapan Kia Tasman ini. Juga menyerlah adalah logo baharu Kia yang agak besar di bahagian atas gril.

Rekaan lampu utama seakan terpisah daripada bahagian gril di bahagian hujung dengan rekaan lampu utama yang menegak yang berintegrasi dengan ruangan fender yang melebar di sisi.

Rekaan cermin hadapan dan belakang yang kelihatan sedikit tegak menyerlahkan lagi rupa luaran yang berani dan berbeza. Dan rekaan bahagian belakang juga tampak senada di bahagian hadapan dengan logo Kia yang lebih besar diletakkan di tengah. Manakala pemegang pintu belakang dan lampu utama direka sedikit tinggi.

Bahagian papan pemuka direka dengan sedikit minimalis dengan menampilkan rekaan corong udara besar sarang lebah. Di bahagian tengah menampilkan skrin lebar panorama 12.3 inci + 5 inci + 12.3 inci yang canggih memberikan pemandu dan penumpang akses kepada sistem infohiburan yang canggih.

Kia Tasman juga mempunyai ruang kepala terbaik dalam segmen, ruang bahu dan ruang kaki barisan kedua 940mm, dengan tempat duduk belakang boleh dibaringkan antara 22 dan 30 darjah demi keselesaan penumpang.

Di Korea, Kia Tasman ini akan ditawarkan dengan enjin 2.5 liter yang dipadankan dengan kotak gear auto lapan kelajuan. Ianya mampu menghasilkan kuasa sekitar 281 PS dan tork 421 Nm.

Pasaran Australia pula akan menerima enjin diesel 2.2 liter bersama kotak gear auto yang mampu menghasilkan kuasa 210 PS tetapi mempunyai tork sehingga 441 Nm.

Satu aspek teknikal yang menarik ada pada Kia Tasman ini, Jurutera telah memposisikan saluran pengambilan udara di bahagian fender demi menjaga keselamatan enjin ketika merentasi air.

Ini membolehkan Kia Tasman ini berupaya melepasi laluan berair pada kedalaman 800mm dengan kadar kelajuan 7 km/j tanpa masalah.

Selain daripada double cab, varian singe cab juga akan turut ditawarkan kepada pembeli bagi memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.

Dengan keupayaan lasak yang mampu menjadi faktor jualan, reka bentuk yang unik sebegini juga mampu menarik perhatian pembeli trak pikap bersaiz sederhana. Amacam?

BACA : KIA TASMAN BAKAL DILANCARKAN SEPARUH MASA PERTAMA 2025

BACA : FORD MAVERICK LOBO – GAYA TRAK PIKAP LOWERED SEPERTI DULU DULU

Google ads

B K

Back to top button