
KILANG VINFAST INDONESIA MULA OPERASI, WARGA SEKITAR DEMO MINTA KERJA
Penubuhan kilang baharu VinFast di Indonesia menandakan satu lagi langkah strategik pengeluar kenderaan elektrik dari Vietnam itu dalam mengukuhkan operasinya di rantau ini.
Namun, kehadiran fasiliti pengeluaran tersebut tidak sunyi daripada reaksi masyarakat setempat.
Sejurus selepas majlis perasmian kilang berkenaan, ratusan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut dilaporkan mengadakan demonstrasi, dengan rakaman aksi itu tular di media sosial.
Antara video yang mendapat perhatian ramai dimuat naik oleh sebuah akaun Instagram, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen.
Menurut maklumat yang dikongsikan, protes itu berlaku sehari selepas pembukaan rasmi kilang kenderaan elektrik milik PT VinFast Automobiles Indonesia yang terletak di Desa Padaasih, Kecamatan Cibogo, Kabupaten Subang, Jawa Barat.
Mengulas situasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif VinFast Indonesia, Kariyanto Hardjosoemarto, menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada dinamika biasa apabila sesebuah projek berskala besar baru dimulakan.
Beliau menegaskan bahawa pihak syarikat sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan serta kebimbangan masyarakat setempat.
Menurut beliau, VinFast melihat kehadirannya sebagai komitmen jangka panjang dan bukan sekadar pelaburan sementara. Justeru, kerjasama dengan penduduk sekitar, selain pihak berkuasa tempatan dan negeri, amat penting bagi memastikan pembangunan dapat berjalan seiring dengan kepentingan komuniti.
Kariyanto turut menjelaskan bahawa VinFast berhasrat untuk menyerap tenaga kerja daripada kawasan sekitar kilang.
Bagaimanapun, pengambilan pekerja tetap tertakluk kepada piawaian yang telah ditetapkan oleh syarikat. Bagi menyokong usaha itu, VinFast juga merancang untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan dan universiti vokasional bagi memastikan calon pekerja memenuhi keperluan industri.
Beliau menegaskan, pendekatan tersebut diharap dapat mewujudkan hubungan yang lebih kukuh antara VinFast dan masyarakat setempat, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan.
- BACA: KIA SALES MALAYSIA MULAKAN OPERASI DENGAN STRATEGI BAHARU- SPORTAGE KINI BERMULA RM128K
- BACA: AGENDA DASAR BAHARU – CHINA MAHU KERETA LEBIH MESRA ALAM, GUNA BAHAN KITAR SEMULA
- BACA: PEROMPAK PROFESIONAL BAYAR PARKIR LEPAS SELESAI CURI EMAS 30 JUTA POUND
- BACA: NISSAN LEAF 2026 – VERSI KEMASKINI LAGI HENSEM







