
ZEEKR NO.1 EV PREMIUM MALAYSIA, CATAT 1,214 UNIT 2026
Jenama kenderaan elektrik premium, Zeekr terus mencipta momentum kukuh di pasaran tempatan apabila muncul sebagai jenama EV premium nombor satu di Malaysia bagi tahun 2026 berdasarkan prestasi jualan semasa.
Data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi April 2026 menunjukkan Zeekr merekodkan 357 pendaftaran EV pada bulan lalu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tahun ini meningkat kepada 1,214 unit.
Pencapaian itu meletakkan Zeekr di hadapan beberapa pesaing utama dalam segmen premium termasuk Tesla.
Selain menguasai segmen EV premium, Zeekr turut berada di tangga keempat jenama EV paling laris secara keseluruhan di Malaysia.

Model utiliti sukan elektrik premium, Zeekr 7X menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan syarikat apabila mencatatkan 303 unit jualan pada April sahaja. Secara keseluruhan, model itu sudah mencapai 999 unit penghantaran sejak Januari 2026.
Jumlah tersebut jauh mengatasi pesaing terdekatnya, Tesla Model Y yang merekodkan 371 unit bagi tempoh sama.
Kejayaan Zeekr turut dipacu oleh model MPV elektrik mewahnya, Zeekr 009 yang mencatatkan 51 unit jualan pada April dengan jumlah keseluruhan 204 unit bagi tahun ini. Model itu kini muncul sebagai MPV EV premium paling laris di Malaysia.
Sejak memasuki pasaran tempatan kurang dua tahun lalu, Zeekr telah merekodkan jualan terkumpul sebanyak 3,849 unit melibatkan 2,509 unit Zeekr 7X, 1,166 unit Zeekr 009 serta 174 unit Zeekr X.

Bagi mengukuhkan lagi kehadiran di Malaysia, Zeekr kini memiliki 10 bilik pameran dan empat pusat servis di seluruh negara.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, sambutan positif pengguna Malaysia membuktikan keyakinan pelanggan terhadap jenama itu.
Menurutnya, syarikat akan terus memperluaskan operasi dan menawarkan EV premium berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan pengguna tempatan.
Dalam masa sama, Zeekr 7X turut menerima pengiktirafan “SUV of the Year (RM200k-RM500k)” di anugerah MCOTY 2025 selain dinobatkan “Electric SUV of the Year” di Vehicle of the Year (VOTY) 2026.
Zeekr 009 pula terus menyerlah dalam segmen MPV elektrik premium apabila merangkul anugerah “Overall Malaysia Car of the Year 2025”, “Best xEV of the Year” dan “MPV xEV of the Year” di MCOTY 2025 selain diiktiraf sebagai “Best Premium EV MPV” oleh Carlist.my dan WapCar.my.





