Buletin

PENANG AUTOSHOW 2026 CATAT KEJAYAAN LUAR BIASA, RM201.96 JUTA POTENSI JUALAN

Penang Autoshow 2026 mencipta kejayaan memberangsangkan apabila edisi sulungnya berjaya menjana potensi jualan bernilai hampir RM202 juta sepanjang empat hari penganjuran.

Acara yang berlangsung sebagai peluasan pertama jenama Malaysia Autoshow di peringkat wilayah itu berjaya menarik kehadiran 38,815 pengunjung, sekali gus membuktikan minat tinggi pengguna di wilayah utara terhadap teknologi automotif moden dan mobiliti masa depan.

Dianjurkan oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), pameran berkenaan merekodkan lebih 439 tempahan kenderaan dan kira-kira 930 sesi pandu uji melibatkan pelbagai model baharu termasuk kenderaan elektrik (EV) serta teknologi hibrid.

Sebanyak 15 jenama automotif bersama lebih 50 pempamer mengambil bahagian dengan menampilkan inovasi terkini dalam sektor automotif, penyelesaian mobiliti, produk selepas jualan dan elemen gaya hidup.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan industri automotif dan mobiliti masa depan di wilayah utara.

Antara tarikan utama ialah pelancaran dan pratonton beberapa model baharu termasuk Jetour T1 yang kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM143,800 hingga RM153,800.

Turut mencuri perhatian ialah GWM Tank 300 HEV, selain kemunculan warna baharu Jade Green bagi Proton e.MAS 5 yang diperkenalkan oleh PRO-NET.

Dalam segmen premium dan prestasi tinggi, Hyundai membuka tempahan untuk model Hyundai IONIQ 5 N dan Hyundai IONIQ 6 N, selain mempamerkan pratonton eksklusif Hyundai IONIQ 9 dan Denza Z9 GT.

Selain pameran automotif, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk himpunan kelab kereta, persembahan khas ikon rock tempatan Awie serta pertunjukan lampu daripada Tesla.

Pameran itu turut menyaksikan kemunculan semula Dunlop di pasaran Malaysia selepas sedekad menerusi pengenalan tayar Blue Response TG yang dibangunkan khusus untuk EV.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ramli Ngah Talib turut melakukan lawatan rasmi ke acara berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan ekosistem automotif negara.

Pada majlis penutup, Seng Siew Lean diumumkan sebagai pemenang pertandingan “Book a Car, Win a Car” yang menawarkan hadiah utama Chery Tiggo 7 PHEV, manakala hadiah cabutan bertuah utama berupa JAECOO J5 dimenangi Siti Rahemah binti Alaw Deen.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz berkata sambutan positif yang diterima membuktikan kepentingan memperluaskan pameran automotif berkualiti ke pasaran serantau bagi memperkukuh industri automotif negara dan mempercepat penerimaan teknologi baharu sejajar agenda Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020).

Malaysia Autoshow dijadual kembali berlangsung tahun depan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang.

Google ads
Back to top button