Artikel PilihanPeranti

KISAH LAPTOP ACER SWIFT 5 YANG POWER DAN KERJA SEORANG BLOGGER

Jadi blogger ni nampak memang macam senang. Tapi itulah, apabila benda jadi serius macam web mekanika ni, Abang Japar terpaksa susun atur jadual kerja. Itu yang kadang-kadang nak makan pun tak sempat.

Dalam dunia yang serba cepat ni, semua berita tersebar dalam masa beberapa saat sahaja. Sebab itu juga laman web perlu cepat dikemas kini apa juga informasi berkaitan yang ada.

Tidaklah macam surat khabar dan majalah yang biasanya deadline setiap minggu. Bagi laman web, deadline ialah secepat mungkin, tak ada garis masa pun sebenarnya.

Jadi, senjata utama untuk menjadi pantas yang pertama ialah kelajuan internet dan yang kedua ialah perkakasan yang kau gunakan. 

Sejak menubuhkan laman web Mekanika pada 2015, laptop adalah perkakasan paling penting. Sehingga ke hari ini, sudah tiga unit laptop Abang Japar guna.

Pertama ialah Acer zaman Tok Gajah, kemudian HP yang termenung nak restart bila Hard Disk dah penuh dan yang terkini ialah Acer Swift 5

Kenapa kerap bertukar?

Seperti yang kau tahu, kemajuan industri komputer sangat cepat dan pemposesnya semakin canggih.

Namun, bagi yang bergantung pada laptop dan banyak bergerak, selain laju, laptop juga mesti ada ciri-ciri penting seperti tahan lasak, bateri tahan lama dan RINGAN.

Bayangkan kalau dalam sebulan kena ke luar negeri beberapa kali mengangkut backpack dengan kamera DSLR lagi, dah tentu berat adalah satu beban.

Antara kriteria lain yang diambil kira ialah kelajuan sepantas cahaya. Setelah menyemak dan bertanyakan yang pakar, Abang Japar buat kesimpulan laptop dengan cakera SSD adalah pilihan yang tepat. Ini kerana ia adalah asas sebuah laptop yang laju dan ringan berbanding cakera tradisional HDD.

Senang kata, ia bukannya laptop, ia digelar Ultrabook. Macam Macbook Air lah senang cakap.

Dan kerana itu jugalah, Abang Japar dapatkan Acer Swift 5 ni.

Sebenanya. Abang Japar memang suka dengan MacBook Air. Ia ada hampir segala-galanya. Laju, stabil, kecil, kacak, kompak dan ringan, bateri yang tahan lama dan harga meninggal. 

Cuma yang tidak boleh disesuaikan ialah sistem aplikasinya sangat berbeza dengan sistem Windows. Ibarat kau yang dah lama huna Android lepas tu beralih ke iPhone – seksa kan?

Acer Swift 5 merupakan satu daripada pelbagai model laptop yang akan membuatkan kau berfikir dua kali sebelum membeli MacBook.

Ia cukup ringan, nipis, berkuasa dan berharga lebih murah daripada model keluaran Apple yang setanding dengannya. Malah ia juga hampir setanding apabila dibandingkan dengan Dell XPS yang jauh lebih mahal.

Swift 5 datang dengan dua spesifikasi utama iaitu 256 SSD dengan 4GB RAM dan 512GB SSD dengan 8GB RAM. 

Disebabkan Abang Japar memang merancang untuk guna lama, pelaburan kali ini biarlah benar-benar berbaloi. Maka, model 512GB menjadi pilihan. Harga jualannya ialah RM4,499 (spec 256GB 4GB RAM ialah RM3,499)

Jika dilihat pada garis model Acer, Swift 5 memang sesuai untuk mobiliti. Ada model lebih murah seperti Swift 3 (pemproses hampir sama tapi kerangkanya lebih berat) dan flagship Acer yang terkenal iaitu Swift 7.

Setelah menunaikan solat Istikharah, Abang Japar buat keputusan rasanya Swift 5 adalah pilihan terbaik daripada kedua-dua hierarki laptop Acer hari ini.

Kedua-dua spesifikasi 256GB dan 512GB ini menggunakan pemproses serupa iaitu pemproses Intel Core i5-7200U, Intel HD Graphics 620 integrated GPU dan bateri 3-cell Li-po yang dikatakan mampu bertahan sehingga 10 jam – yang ni kita cerita nanti.

Paling menarik ialah ia cukup nipis dan ringan, TAPI ia masih ada sambungan dua slot USB 3.0, USB Type C dan HDMi (yang tiada pada Swift 7)

Mula-mula melihat Acer Swift 5, Abang Japar memang terkejut sebab laptop yang dihasilkan dengan perumah aluminium ini cukup murah dalam kelasnya. Tapi selepas dipegang dan dibelek sebenarnya ia bukannya 100 peratus aluminium, tetapi lebih kepada gabungan aluminium dan plastik.

Nampak sedikit pelik tapi ini bukan kali pertama Acer melakukannya. Ia berjaya membuatkan laptop ini kelihatan lebih premium.

Ultrabook ini sebenarnya dihasilkan untuk diri sendiri dan bukannya untuk menarik perhatian orang lain sewaktu kau menghirup kopi di Starbucks.

Dengan berat sekitar 1.3 kg, ia memang mudah dibawa ke mana-mana dan ketebalan 14.6mm menjadikannya setanding dengan laptop lain yang lebih premium.

WALAUPUN NIPIS TAPI MACAM-MACAM BOLEH CUCUK

Acer memang pemurah kerana Acer Swift 5 dilengkapi segala titik sambungan. Antaranya ialah 2 USB port bersaiz penuh dan 1 USB-C port untuk gajet-gajet baru yang memerlukannya.

Terdapat juga slot SD HDMI untuk membolehkan sambungan ke skrin lain ataupun televisyen.

Ya. Kadang-kadang kita perlukan port sambungan begini kerana kerap juga Abang Japar kena buat presentation pada pelanggan guna projektor.

HDMi ni banyak laptop moden dah buang pun. Tahniah Acer. 

Terdapat juga pengesan cap jari pada bahagian trackpad. Teknologi yang dipindahkan daripada telefon pintar dan membolehkan pengguna log masuk tanpa menggunakan kata kunci atau pin. Tapi yang ni Abang Japar tak pernah cuba lagi.

Butang clicker berfungsi dengan baik, begitu juga keyboard cuma ia tidaklah sehebat keyboard MacBook terbaru. Keyboard terbaru dengan lampu background memudahkan kerja-kerja menaip dilakukan dalam pencahayaan yang terhad.

SKRIN DIA MEMANG JELAS

Satu daripada kehebatan Acer Swift 5 ialah saiz skrinnya yang berukuran 14 inci ,tetapi diletakkan dalam perumah yang hampir sama dengan skrin bersazi 13 inci. Tengok sendiri betapa nipisnya bingkai tepi skrin tersebut. Ia membuatkannya kelihatan cukup moden.

Acer Swift 5 masih menggunakan skrin IPS LCD tetapi dengan nisbah 1045:1, antara yang terbaik dalam kelasnya. Skrin ni menghasilkan imej kelihatan terang, nyata dan sangat jelas.

POWER DAN JIMAT MINYAK, EH BUKAN. JIMAT BATERI

Satu daripada ciri hebat Acer Swift 5 ialah ia sebenarnya lebih laju berbanding Swift 7. Ini kerana ia menggunakan CPU Intel Core U Series yang sangat menjimatkan tenaga. Ia begitu efisien sehingga langsung tidak memerlukan kipas penyejuk.

Pemproses ini menjadikannya cukup laju dan berkuasa seperti laptop lain yang lebih mahal. 

Ia mampu membaca pada kelajuan 550MB dan menulis pada kelajuan 390MB. Paling laju sebenarnya ialah 1300MB. Tiada masalah sebenarnya untuk kegunaan biasa, kecuali jika anda suka memindahkan berjuta-juta GB data setiap hari.

Acer Swift 5 menggunakan RAM DDR3 dan bukannya DDR4 2133MHz. Setakat sebulan dah guna ni, ia mampu melakukan apa sahaja yang anda inginkan termasuklah penggunaan perisian Photoshop dan menyunting video.

Biasanya, kelajuan laptop bagi Abang Japar boleh diukur mengggunakan perisian ini. Sama ada menyunting gambar atau memproses video.

KETAHANAN BATERI

Acer mendakwa bateri Swift 5 ini mampu bertahan selama 10 jam. Tetapi berdasarkan penggunaan Abang Japar, ia mampu bertahan sekitar 9 jam 30 minit.

Bolehlah tahan untuk sebuah laptop yang nipis dan ringan. Sudah tentu bateri akan lebih cepat habis jika  menggunakan grafik yang terlalu terang ataupun memaksa CPU bekerja keras.

Kapasiti baterinya juga adalah lebih baik berbanding pesaing yang lebih premium. Acer Swift 5 dilengkapi bateri berkuasa 53.9Wh berbanding 38Wh pada HP Spectre sebagai contoh.

HP Spectre ni Abang Japar ushar jugalah sebelum beli Swift 5 ni. (sebab warna emas tu macam menarik!)

Secara keseluruhan, inilah laptop serbab boleh yang memberikan sentuhan mewah tetapi pada harga yang tidak membebankan. Ia mempunyai rekaan dan prestasi yang setanding dengan laptop yang lebih mahal tetapi mempunyai kelebihan tersendiri.

Nak cerita lebih-lebih pun baru sebulan guna. Laptop ni kadang-kadang mula-mula gunamemang laju. lepas setahun jadi lemau. Kau tengok smartphone lah. Lebih kurang je sifatnya.

Lepas cukup setahun, Abang Japar review lagi, tengok speed ia macam mana.

 
Google ads
Back to top button