Buletin

NISSAN CIPTA SELIPAR ‘PARKIR’ SENDIRI

Nissan Motor Co. dilapor telah membangunkan satu sistem bagi membolehkan selipar disusun sendiri pada pintu sebuah rumah tumpangan atau dikenali sebagai ryokan di Jepun.

Ryokan tersebut terletak di sebuah bandar peranginan gunung Fuji yang terkenal, Hakone. Pelanggan bertuah dijangka berpeluang menguji sendiri teknologi itu pada Mac depan.

Penguna hanya perlu menekan satu butang pada selipar tersebut bagi membolehkannya tersusun rapi sebelum dan selepas ia digunakan.

Selipar yang menggunakan teknologi ProPilot Park Nissan itu dipasang dengan dua roda kecil, sebuah motor dan alat pengesan untuk bergerak di atas lobi berlantai kayu.

Ini merupakan teknologi sama yang diaplikasikan oleh Nissan ke atas kereta elektrik, LEAF. Alat pengesan berteknologi tinggi dan kamera membolehkan kereta untuk mengesan dan pergi ke ruang parkir tanpa sebarang input daripada pemandu.

“Selipar yang mampu parkir sendiri ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi pemanduan automatik dan potensinya,” kata jurucakap Nissan, Nick Maxfield.

Di Ryokan itu, bukan selipar sahaja yang boleh parkir sendiri. Malah, kusyen lantai dan meja berkaki rendah (cabudai) juga mempunyai keupayaan sama.

Kalau ada pelanggan yang tidak sedar tentang teknologi ini, mesti mereka ingat rumah tumpangan itu berhantu. Seram juga tu..

Google ads
Back to top button