Buletin

KLIMS 2018: DAIHATSU GRAN MAX – UBAH SUAI BEGINI, BOLEH BERNIAGA TUDUNG ATAU DONAT

Jika berkesempatan ke acara KLIMS yang sedang berlangsung sekarang di MITEC, jangan lupa naik ke tingkat 2.

Ini kerana ruang pameran Daihatsu Malaysia ada mempamerkan empat buah model panel van yang telah diubah suai dengan begitu menarik sekali.

Dibina di atas model panel van Gran Max bertransmisi automatik dan manual. Apa yang hendak ditunjukkan oleh Daihatsu Malaysia adalah versatiliti Gran Max. Jentera dengan pacuan roda belakang itu boleh diubah mengikut kesesuaian perniagaan anda.

Paling menarik perhatian ialah model yang telah dibah menjadi sebuah butik bergerak. Dihasilkan oleh jenama skaf terkenal Mumu Scarves, Gran Max itu dibina dengan rak, tempat duduk, cermin dan patung.

Bagi memudahkan pelanggan, bahagian sisi sebelah kirinya turut dipasang dengan kanopi tambahan. Penampilannya diserlahkan lagi menerusi beberapa komponen tambahan seperti lampu nyalaan siang (DRL), bull bar dan rim bersaiz 15 inci.

Saya kena akui bahawa hasil modifikasi Gran Max itu cukup kemas.

Di sebelahnya pula ialah sebuah lagi Gran Max yang menjual donat Big Apple. Bagi membolehkan krew untuk menyediakan makanan, bumbungnya telah dinaikkan dengan signifikan. Ia juga dipasang dengan kelengkapan dapur.

Sekali pandang, seperti tidak percaya bahawa ia merupakan model Gran Max yang biasa. Tetapi selepas diubah suai, memang boleh jadi luar biasa.

Unit ketiga yang dipamerkan ialah panel van Gran Max bertransmisi automatik. Diperkenalkan kepada sekumpulan media di kilang Daihatsu di Jakarta baru-baru ini, ia menjadi model AT pertama dalam kelasnya.

Setiap bahagian kenderaan berwarna putih itu ditampal dengan pelekat yang menjelaskan ciri terbaik Gran Max ini.

Antara maklumat yang ditulis ialah kuasa dan sesaran enjin, kapasiti ruang (1,495mm), keupayaan meredah air terbaik dalam kelasnya (600mm pada kelajuan 10km/j), pintu gelongsor pada kedua-dua sisi, jarak kelegaan tanah (585mm) dan sistem brek ABS.

Gran Max dikuasakan oleh enjin bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana kuasa  71kW dan tork 134Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan.

Sempena KLIMS 2018, Daihatsu Malaysia akan menawarkan promosi istimewa dengan rebat tunai, badan kargo percuma bernilai RM2,000, petrol kad RM2,000 dan pakej penyelenggaraan percuma selama setahun atau perbatuan sejauh 20,000km.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button