Buletin

KLIMS 2018: C.A.M CO-STAR – BAS MINI 20 TEMPAT DUDUK, RM172,400 SEUNIT, SATU KAMPUNG BOLEH ANGKUT

Jenama kenderaan komersial ringan, C.A.M melancarkan kenderaan pengangkut penumpang yang dikenali sebagai C.A.M Co-Star di KLIMS 2018.

Diedarkan oleh anak syarikat Sendok Group, R&A Marketing, Co-Star sebenarnya telah diperkenalkan ke pasaran sejak awal tahun ini lagi.

Mendapat maklum balas memberangsangkan, van atau bas mini yang mampu membawa 20 orang penumpang itu dikuasakan oleh enjin 2.8 liter. Dengan kuasa 107hp dan tork maksimum 260Nm, ia dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan Getrag.

Sesuai digunakan sebagai kenderaan membawa budak sekolah, pekerja kilang atau agensi pelancongan, Co-Star menawarkan ketahanan dan penjimatan bahan api.

Apa yang lebih menarik lagi, jentera itu boleh didaftarkan sebagai kenderaan persendirian.

Co-Star ditawarkan pada harga RM172,400 seunit. Pelanggan akan disokong oleh 50 pusat pengedar di seluruh negara dan hotline servis 24/7. C.A.M ada menyediakan servis menda percuma sepanjang tempoh jaminan.

Walapun panjangnya mencecah enam meter, ia didakwa mudah untuk dikendalikan. Co-Star hadir dengan pilihan susun atur tempat duduk 16+1 dan 19+1.

Bagi memudahkan urusan keluar masuk, pintu gelongsor automatik di kiri dan kanan ada disediakan. Penumpang juga boleh meletak bagasi mereka di ruang atas kepala atau bumbung untuk perjalanan yang lebih selesa.

Pelanggan terawal membeli Co-Star akan diberi sistem kamera 360 darjah bernilai RM3,500. Untuk tempoh terhad sahaja.

GALERI

Google ads
Back to top button