KLIMS 2024 – DAH TENGOK MODEL KONSEP TOYOTA KAYOIBAKO? MOBILITI DENGAN PELBAGAI FUNGSI
Pengunjung ke KLIMS 2024 pastinya akan tertarik dengan model konsep yang kelihatan serupa dengan almari baju dia pun reka bentuk berkotak ini. Inilah dia model konsep BEV Toyota Kayoibako yang turut dibawakan oleh Toyota untuk tatapan pengunjung ke KLIMS 2024.
Walau pun ini bukanlah model konsep baharu sama seperti yang dipaparkan dengan model konsep Toyota Land Cruiser SE, tetapi peluang untuk melihat depan mata untuk sebuah model konsep yang biasanya kita hanya baca di alam maya sahaja memang lain dia punya feel.
Untuk rekod, model konsep Toyota Kayoibako ini telah pun dipertontonkan untuk tatapan umum ketika Japan Mobility Show 2023. Model konsep ini dihasilkan untuk sebuah model kenderaan kompak bagi mewakili gambaran mobiliti di masa hadapan.
Istilah Kayoibako ini merujuk kepada kontena penghantaran yang boleh diubah kepada daripada saiz asal untuk menghapuskan sisa dan mampu untuk memenuhi pelbagai keperluan yang boleh diubah. Mudah kata, walau pun Toyota Kayoibako ini kelihatan cukup kompak, tetapi ada sesuatu di dalamnya yang boleh diubah mengikut keperluan.
Mempunyai dimensi berukuran 3,990 mm panjang, 1,790 lebar dan 1,855 mm tinggi dengan jarak roda hanyalah 2,800 mm. Dimensi bahagian dalam mempunyai ukuran 3,127 mm panjang, 1,485 mm lebar dan 1,437 mm tinggi.
Toyota Kayoibako ini boleh direka sebagai salah satu solusi kepada masyarakat untuk infrastruktur sosial mahu pun bagi tujuan komersial. Untuk logistik jarak jauh, sebagai contoh, ianya boleh menyumbang kepada sistem pengedaran pintar dengan membenarkan penyesuaian untuk pengangkutan volum rendah yang cekap.
Model konsep Kayoibako ini juga boleh diubahsuai bahagian dalamannya dengan memasang rak di bahagian dalam sekali gus menjelmakan ianya sebagai kedai bergerak. Malah tempat duduk tambahan juga boleh dipasang untuk menjadikannya sebagai sebuah shuttle untuk membawa penduduk kampung misalannya.
Dan untuk kegunaan persendirian, sudah tentul pelbagai fungsi boleh dihasilkan sama ada untuk fasiliti membawa penumpang dengan kerusi roda atau pun untuk dijadikan sebagai sebuah campervan untuk di bawa masuk ke dalam hutan.
BACA : KLIMS 2024 – TOYOTA LAND CRUISER SE CONCEPT
BACA : TOYOTA BABY LUNAR CRUISER CONCEPT – AKHIRNYA KERETA DI BULAN SUDAH DISIAPKAN