Buletin

HONDA MALAYSIA RAI TIGA PEMILIK AWAL HONDA PRELUDE BAHARU

Honda Malaysia meraikan perjalanan pemilikan tiga pelanggan istimewa menerusi satu majlis penghargaan eksklusif sempena pengenalan All-New Prelude, model sport coupe ikonik yang kembali mewarnai pasaran tempatan dengan gabungan warisan prestasi dan teknologi elektrifikasi moden.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, kemunculan semula All-New Prelude mencerminkan semangat Honda yang sentiasa mengutamakan pengalaman pemanduan serta hubungan erat dengan pelanggan.

Menurut beliau, syarikat berbangga dapat berkongsi detik bermakna itu bersama pemilik Prelude yang mempunyai kisah dan pengalaman tersendiri sehingga memilih model tersebut sebagai kenderaan pilihan mereka.

Majlis berkenaan menghimpunkan tiga pemilik awal All-New Prelude iaitu Gan Ker Beng, Wahiduzaman Abu Kashim dan Dr. Davina Navreet Kaur yang masing-masing berkongsi minat mendalam terhadap karakter unik, pengalaman pemanduan yang menyeronokkan serta legasi panjang model berkenaan.

Gan, seorang usahawan dari Johor Bahru, menyifatkan pemilikan Prelude sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama mengagumi model tersebut sejak era 1990-an.

Katanya, hubungan panjang bersama jenama Honda serta nostalgia terhadap nama Prelude menjadi faktor utama yang mendorong beliau memiliki model itu.

Sementara itu, Wahiduzaman yang berasal dari Kuala Lumpur dan pernah memiliki beberapa model prestasi Honda berkata, All-New Prelude menawarkan keseimbangan ideal antara keseronokan memandu dan keselesaan harian.

Beliau turut memuji teknologi S+ Shift yang memberikan sensasi pertukaran gear lebih responsif untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Bagi Dr. Davina pula, All-New Prelude merupakan Honda pertama miliknya. Pakar endodontik itu berkata, minat terhadap Prelude bermula sejak remaja apabila sering melihat model klasik berkenaan di kawasan kejiranannya di Subang.

Beliau juga tertarik dengan teknologi hibrid Honda sehingga membuat tempahan sebaik sahaja model itu dilancarkan.

Kisah ketiga-tiga pemilik ini mencerminkan hubungan kukuh antara Honda dan pelanggan yang telah terbina sejak sekian lama, sekali gus menambah satu lagi babak baharu dalam sejarah jenama tersebut.

All-New Prelude direka sebagai sebuah grand tourer berorientasikan pemandu yang menggabungkan warisan prestasi Honda dengan teknologi elektrifikasi terkini.

Model itu turut memperkenalkan teknologi S+ Shift, yang pertama ditawarkan oleh Honda Malaysia, bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih imersif dan menyeronokkan.

Sebagai model terbaharu dalam rangkaian kenderaan hibrid Honda yang merangkumi segmen sedan, hatchback dan SUV, All-New Prelude menampilkan pendekatan baharu dalam dunia sport coupe moden sambil mengekalkan DNA pemanduan yang sinonim dengan jenama Honda.

Google ads
Back to top button