Buletin

KOS SARA HIDUP TINGGI, RAKYAT MALAYSIA TETAP MASIH MAMPU MILIKI KENDERAAN

Firma penyelidik percaya pemilikan kenderaan baharu masih menjadi kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia, meskipun dalam situasi kos sara hidup lebih tinggi serta ekonomi global yang perlahan.

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata keadaan itu disokong tahap keyakinan pengguna yang kukuh yang dipacu ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan kekal mantap.

Selain itu, katanya, tahap kemampuan pemilikan kenderaan bermotor juga disokong oleh harga kereta baharu yang stabil berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu yang boleh mengakibatkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak 8.0 hingga 20 peratus.

“Kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan pengurangan harga iaitu kaedah keseimbangan dalam pengiraan caj faedah mendorong pemilikan berterusan kenderaan bermotor, selain pengenalan model baharu yang menarik.

“Kami percaya perniagaan sektor automotif akan beroperasi seperti biasa untuk segmen mampu milik kerana pelanggan sasarannya iaitu kumpulan B40, akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku dan berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, Wan Mustaqim berkata, perkara itu tidak sama untuk segmen pasaran pertengahan memandangkan pelanggan sasarannya iaitu kumpulan M40 mungkin ‘menahan diri’ daripada membeli kereta baharu.

“Malah, ada kemungkinan golongan ini menukar kepada kereta yang lebih kecil untuk mengurangkan kos bahan api mereka selepas pengenalan bahan api rasionalisasi subsidi,” katanya.

Bagi tahun ini, Kenanga Research berkata, ia menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) berada pada 710,000 unit, susut 11 peratus, jangkaan yang konservatif berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 740,000 unit.

“Kami percaya walaupun automotif akan menjadi perniagaan yang beroperasi seperti biasa untuk segmen mampu milik, rasionalisasi subsidi bahan api berkemungkinan menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan,” katanya.

Secara umumnya, Wan Mustaqim berkata, keterlihatan pendapatan industri automotif masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 200,000 unit pada akhir bulan lalu.

“Lebih separuh daripada tempahan tertunggak ini terdiri daripada model baharu, merujuk kepada betapa menariknya model baharu kepada pembeli kereta.

“Trend ini berkemungkinan berterusan sepanjang tahun ini dengan pelbagai barisan pelancaran baharu yang kukuh,” katanya.

Beliau menjelaskan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan beroperasi pada kapasiti penuh tahun ini bagi memenuhi tunggakan tempahan yang besar sebanyak 120,000 unit, bersamaan dengan hampir separuh daripada sasaran jualan tahun ini sebanyak 340,000 unit.

Dari segi model baharu, katanya, PERODUA akan memperkenalkan Perodua D66b,model lengkap dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) terkini ke pasaran dengan tarikh pelancaran dijangka pada bulan hadapan.

“Oleh itu, berdasarkan anggaran kami, PERODUA bersedia untuk mengembangkan bahagian pasarannya kepada 48 peratus berbanding 41 peratus tahun lalu,” katanya.

Bagi Proton Holdings Bhd (PROTON, pengeluar jenama nasional itu dijangka melancarkan pelbagai model dipertingkat termasuk Proton X70 MC2, Proton X50 MC1, Proton Saga, Persona, Iriz MC versi, selain akan memperkenalkan model Smart #3.

“Dalam segmen bukan nasional, pengeluar kereta akan beralih daripada segmen margin rendah yang sangat kompetitif seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) 7-tempat duduk dan memberi tumpuan kepada produk premium yang akan menarik kepada kumpulan berpendapatan sederhana,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button