Motosikal

KTM RC 250 2017 – MOTOSIKAL SPORTS LINCAH PADA HARGA RM21,081 SEUNIT

KTM Malaysia mengumumkan ketibaan model RC 250 dan RC 390, sekali gus  menjadi pelengkap kepada model  KTM 250 Duke serta KTM 390 Duke 2017 yang dilancarkan ke pasaran tempatan pada September lalu.

Sejak siri RC dilancarkan di pasaran pada tahun 2014 (RC 250 in 2015), peminat sememangnya memuji model sports yang ringan, pantas dan lincah ini. Ia dilihat sebagai jentera paling hampir dengan Moto3 yang beraksi dalam perlumbaan di seluruh dunia.

Walaupun kelihatan seperti tidak banyak berubah, RC 250 sebenarnya telah menerima banyak penambahbaikan. Kerangka besi trellis ringan diubah suai untuk sepadan dengan aspek ergonomik dan dinamik motosikal ini.

Sudut stereng (rake) diubah menjadi 23.5 darjah, seterusnya membuatkan tunggangan jentera ini semakin lincah. Ia kini menggunakan fork USD (upside-down) WD 43mm yang diameternya sama dengan model RC8 R bagi memberikan kestabilan apabila brek ditarik keras.

Penyerap hentak roda belakang pula disambung terus dengan lengan ayun aloi alunimum untuk ketegaran optimum dan meningkatkan aspek kestabilannya.

RC 250 menggunakan khidmat enjin silinder tunggal DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 248.8cc. Enjin yang dilengkapi sistem pancitan bahan api elektronik dan hanya seberat 36kg itu mampu menjana kuasa mencecah 31hp.

Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan bernisbah rendah bersama ciri klac bantuan slip. Fungsi slip ini mengelakkan roda belakang daripada terkunci apabila gear diturunkan secara agresif. Klac itu juga menawarkan tarikan klac yang lebih ringan dan kurang meletihkan penunggang. 

Prestasi membrek pula diserahkan kepada sistem brek cakera bersaiz 300mm di hadapan dan cakera 230mm di belakang. Boleh dah nak racing ni.. 

Google ads
Back to top button