PININFARINA BATTISTA CINQUANTACINQUE, INSPIRASI LANCIA FLORIDA REKAAN BATTISTA PININFARINA
Kereta hiper elektrik Automobili Pininfarina Battista diperkenal di khalayak ramai di Geneva pada 2019. Hanya 150 buah dikeluarkan dan prestasi kereta ini luar biasa.
Nadi elektrik menghamburkan 1,900 kuasa kuda (hp) dan tork 2,340Nm, pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 1.86 saat.
Pecutan dari 0 sehingga 200 km/j pula memerlukan 4.75 saat. Jarak pemanduan sehingga 476 km.
Pek bateri 120 kilowatt-jam (kWj) dibekalkan Rimac Automobili dan menghantar kuasa kepada setiap empat roda.
Sejak diperkenalkan Battista sudah tampil dengan edisi istimewa dan beberapa buah unit buatan khas.
Terbaru Automobili Pininfarina menghasilkan sebuah Battista yang dibuat sebagai penghormatan kepada Lancia Florida 1955.
Kereta itu mempunyai sejarah penting kerana direka dan disukai oleh Battista ‘Pinin’ Farina.
Beliau merekabentuk Florida pada awal 50-an dan terkenal sebagai arka bergerak dan mempengaruhi perspektif reka bentuk baharu.
Florida milik Pinin masih lagi wujud dan sebahagian daripada Pininfarina SpA Collection di Cambiano, Turin, Itali. Florida digunakan sebagai kereta harian sepanjang kerjaya beliau.
Menghampiri usia tujuh dekad, Florida masih anggun, bergaya, moden dengan unsur-unsur yang ke hadapan.
Battista Cinquantacinque menggunakannya sebagai inspirasi dengan warna Blu Savoia Gloss dan bumbung Bianco Sestriere Gloss. Turut menyerlah pek perhiasan Brushed Anodised.
Bahagian dalam turut membangkitkan aura klasik dengan balutan Mahagoni (Poltrona Frau Heritage Leather).
Grafik dan nama Cinquantacinque bermaksud 55 di dalam bahasa Itali dan sebagai penghormatan kepada Lancia Florida 1955 hasil rekaan Carrozzeria Pininfarina.
Tidak sekadar warna badan, logo Cinquantacinque 55 boleh dilihat pada plet pintu penumpang dan bahagian bawah sayap belakang.
Seperkara lagi yang menarik, Ketua Pegawai Pereka Automobili Pininfarina, Dave Amantea memaklumkan Florida turut dijadikan rujukan semasa beliau merekabentuk konsep rekaan PURA Vision.
Kenderaan itu dijadikan templat kepada kesemua model masa depan Automobili Pininfarina.
Sedan Florida unik kerana pintu penumpang dibuka ke belakang dan tidak mempunyai tiang B yang diterjemahkan kepada Lounge Doors pada PURA Vision.
Tingkap dibuka ke atas dan gabungan bukaan tanpa tiang dan pintu penumpang ala Florida membolehkan pemandu dan penumpang masuk tanpa halangan.
Battista Cinquantacinque akan dipertontonkan pada umum di Tokyo, Jepun.