VW BAKAL KELUAR BELANJA BESAR UNTUK PASTIKAN ENJIN ICE KEKAL RELEVAN – SUDAH TUKAR KA?
Sebelum ini mereka merancang untuk merampas takhta Tesla sebagai pengeluar EV terkemuka tapi kini nampaknya VW telah merangka kembali strategi mereka. Eksekutif kanan VW mengesahkan sebahagian besar belanjawan yang sebelum ini dikhususkan untuk pembangunan EV kini disalurkan untuk memastikan segmen ICE kekal kompetitif.
Bercakap kepada Reuters dalam satu acara di Munich, Jerman, Arno Antliz, COO merangkap CFO VW Group mengumumkan yang mereka akan meneruskan pelaburan dalam segmen ICE walaupun sebelum ini matlamat utama mereka ialah elektrifikasi.
Mereka sebelum ini dikatakan merancang untuk belanjakan USD193.5 billion untuk EV dan digitalisasi. Terbaru hanya dua pertiga dari jumlah itu bakal diperuntukkan untuk elektrifikasi dan digitalisasi manakala selebihnya ada untuk pembangunan ICE. Ini baru betul.
Dengan kata lain mungkin EV adalah masa depan tapi ICE belum menjadi sejarah dan ia tak wajar dilupakan terus.
Sebenarnya bukan hanya VW yang mengkaji balik proses elektrifikasi kenderaan mereka. Langkah yang sama turut diambil oleh Mercedes-Benz. Mereka tidak akan menawarkan model-model EV sepenuhnya tapi akan memberi tawaran yang lebih baik dengan pilihan model-model hibrid dan PHEV. Barulah ada pilihan sikit ye tak?