Buletin

LELAKI JERMAN INI GUNAKAN DUA BUAH KERETA SMART UNTUK MEMASTIKAN LALUAN KELUAR MASUK BELIAU TIDAK TERHALANG – KAYO KAU JANG

Katalah anda menetap di rumah kediaman jenis teres dan laluan keluar masuk anda sering terhalang oleh kenderaan jiran sebelah ataupun tetamu mereka. Itu belum ada kedai mamak kat depan lagi, memang jenuh la nak suruh alih kereta diorang bila dah melepak kat situ.

Jika di Malaysia, cara paling mudah untuk menghalang kenderaan diletak secara membuta tuli ialah dengan menggunakan kon berwarna oren tapi paling jimat dan banyak digunakan tentulah kerusi plastik. Setengahnya siap buat tanda kononnya parking tu dia punya padahal tak bayar pun kat DBKL. Tapi itu hal lain.

Okey itu Malaysia punya cerita, lain pula halnya di Jerman atau lebih tepat lagi di Dusseldorf. Seorang lelaki telah menemui cara yang bergaya untuk menghalang orang ramai yang tidak reti bahasa dari meletakkan kenderaan mereka di laluan masuk kediaman beliau.

Caranya ialah dengan mendapatkan dua buah kereta Smart Fortwo dan meletakkannnya di kiri dan kanan laluan masuk kediaman beliau, sebuah bangunan lima-tingkat di kawasan Kaiser Friedrich-Ring.

Kejiranan yang padat membuatkan tempat pakir satu masalah dan beliau menggunakan kaedah yang bijak ini untuk memudahkan beliau dan isteri keluar masuk dengan SUV mereka. Kawasan ini yang berhampiran dengan kawasan rekreasi seperti gelanggang tenis membuatkan ramai yang suka meletakkan kenderaan sesuka hati.

BACA: TAS 2018: INI MUNGKIN KAWASAN LETAK KERETA PALING HEBAT DI DUNIA

Apa pun dua buah Smart berwarna perak itu memang cukup menarik perhatian sehinggakan ianya pernah tersiar dalam sebuah akhbar di Jerman.

Jiran-jiran beliau memberitahu kereta-kereta tersebut sudah diletakkan di situ hampir tiga tahun dan cuma digerakkan sekali sahaja.

Sebahagian daripada tayarnya juga telahpun ditumbuhi rumput-rumput hijau. Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun menyatakan yang ianya bukan satu kesalahan untuk meletakkan dua buah kereta tersebut di situ asal saja ia boleh dialihkan jika perlu.

Menarik tak idea ni? Ia juga satu kegunaan baru kereta Smart yang direka khas untuk kehidupan di bandar. Tapi kalau lelaki tersebut menggunakan kereta buruk rasanya tak sampai sebulan dah kena tunda dengan PBT kat sana.

Kalau kat Malaysia? Hmmm…bulan pertama hilang tayar, bulan kedua hilang lampu, bulan ketiga memang tinggal rangka je lah.

Tags
Google ads
Back to top button