
SMART CONCEPT #5 – SUV SAIZ SEDERHANA, JARAK PEMANDUAN LEBIH 548 KM
Mungkin ada yang sudah nampak kehadiran smart #1 di atas jalan. Kenderaan elektrik (EV) ini hadir tersendiri hasil kerjasama di antara Mercedes-Benz dan Geely.
smart #1 Brabus pula tangkas dengan pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.9 saat.
smart sebenarnya mempunyai sebuah lagi model iaitu smart #3 yang diperkenal di China dan Eropah pada 2023.

smart bakal mempunyai model ketiga dan dipertontonkan melalui smart Concept #5 yang juga paling luas dan versatil.
Dari gambar boleh dilihat smart Concept #5 bukan sahaja dibuat untuk bandar tetapi lebih daripada itu.
smart Concept #5 adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz sederhana dengan pacuan semua roda, teknologi canggih dan dipakaikan tayar off-road seperti di dalam gambar.

SUV ini menggunakan teknologi 800 volt dan bateri dengan kapasiti bateri lebih 100 kilowatt-jam (kWj).
Pengecasan dari 10 sehingga 80 peratus hanya perlu 15 minit dan jarak pemanduan lebih daripada 548 kilometer (km). Ada lima mod pemanduan untuk keadaan jalan berbeza.
Reka bentuk smart Concept #5 berkotak seperti jip atau 4×4 terdahulu dan tampil meyakinkan.
Bahagian dalam dilengkapi dua skrin dengan teknologi OLED dan dikuasa cip AMD V2000. Penumpang depan duduk di atas kerusi sifar graviti dengan fungsi pemanas, pengudaran dan urutan.

Turut dilengkapi pembesar suara boleh alih yang disepadukan pada konsol tengah.
Satu lagi ciri canggih ialah khidmat kecerdasan buatan (AI) yang membantu dan berkomunikasi dengan pemandu dan penumpang.
Ditunjukkan terlebih dahulu dalam bentuk konsep di Beijing, model produksi dirancang untuk diperkenal pada setengah tahun kedua 2024.










