
LEXUS LS CONCEPT – TAK MUNGKIN INI ADALAH PENGGANTI KEPADA LEXUS LM KOT?
Lexus juga tampaknya turut memberikan buah tangan untuk ditonton bersempena dengan Japan Mobility Show (JMS) apabila menayangkan kepada umum sebuah model konsep ultra mewah, Lexus LS Concept.
Perkataan wow sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila melihatkan model konsep ultra mewah ini lengkap dengan enam roda. Mungkin inilah dia gambaran pengganti kepada model Lexus LM yang hanya dibina berdasarkan perkongsian casis daripada saudaranya Vellfire / Alphard.

Mungkin juga kelak ini adalah merupakan van dengan bentuk berkotak ini adalah model termewah dalam senarai katalog jualan mereka, dengan pastinya mereka menyasarkan keberadaan orang – orang bangsawan / selebriti dunia sebagai pemiliknya kelak.
Rekaan bahagian fascia hadapan yang tampil dengan bentuk berkotak ini barangkali berjaya diserlahkan imej sebuah Lexus dengan penggayaan elemen pencahayaan yang bersilang dari atas ke bawah kiri dan kanan serta logo perkataan LEXUS di tengah yang juga bercahaya.

Terdapat dua bumbung suria yang merentang panjang terpisah kiri dan kanan, model konsep LS ini mempunyai skrin sisi berlubang yang membolehkan pencahayaan dari masuk ke dalam kabin.
Bahagian belakang menampilkan rekaan lampu utama yang memanjang disisi serta di bahagian bawah cermin untuk memberikan ilusi cermin belakangnya yang sememangnya cukup luas dan besar. Menariknya cermin ini boleh dibuka terus bagi membolehkan sebarang urusan memuat naik atau memunggah dengan lebih mudah tanpa memerlukan ruang yang lebih besar.

Bahagian kabin menampilkan rekaan yang minimalis dan berfungsi. Dua kerusi berkembar di bahagian hadapan boleh dihadapkan ke belakang ketika pemberhentian untuk bersembang dengan penumpang barisan kedua dan ketiga yang sememangnya cukup luas.
Kerusi barisan ketiga menampilkan ciri yang lebih mewah dan selesa kepada penumpang, sesuai untuk pemiliknya menikmati perjalanan ke destinasi.

Oh ya, jikalau perasan, saiz roda hadapan dan belakang tidak sama besar dengan tayar di hadapan cukup besar dengan empat tayar di belakang lebih kecil, untuk menampung beban saiz Lexus LS yang cukup besar ini. Keputusan ini dibuat bagi mendapatkan keluasan maksima yang diperlukan untuk ruang penumpang belakang yang lebih selesa.
Persoalannya adalah, jika benar model konsep ini ingin dijelmakan sebagai sebuah van yang mewah, adakah benar konsep enam tayar ini akan digunapakai? Jenuh juga nak cari tayar saiz bas persiaran untuk bahagian hadapan ini kan?
BACA : KIM JONG UN GUNA LEXUS LX 600 UNTUK TINJAU KEADAAN BANJIR – NASIB BAIK TAK HANYUT



