Buletin

LIVERY BAHARU GR YARIS RALLY1 - LEBIH GARANG DENGAN HITAM MATTE!

Bahang kempen FIA World Rally Chamnpionship (WRC) musim 2024 terus dihangatkan lagi apabila pasuka pemenang bagi kategori Pengeluar dan Pemandu, Toyota Gazoo Racing telah menayangkan livery baharu perlumbaan pada GR Yaris Rally1 yang bakal digunakan pada musim hadapan .

Perubahan livery yang digunakan kali ini kelihatan agak radikal berbanding yang pernah digunakan semenjak dari era jentera GR Yaris WRC dengan warna putih sebagai warna asas. Cuma dalam era Rally1 ini, pasukan Toyota Gazoo Racing lebih memilih gandingan warna putih sebagai asas dengan dilatari warna merah dan juga hitam.

Tetapi bagi musim hadapan, jentera GR Yaris Rally1 mereka akan berwarna hitam matte untuk keseluruhan warna badan jentera ini. Perubahan ini nampak lebih garang dan lebih jahat apabila dikenakan pada jentera yang sememangnya sudah nampak garang ini.

Menurut Toyota livery ini dihasilkan bagi menggambarkan dua konsep. Yang pertama adalah “speed” bagi melambangkan semangat tidak suka akan kekalahan, dan kedua adalah “prototype” yang mewakili “untuk menghasilkan kereta dengan baka sukan permotoran yang lebih baik serta terus sentiasa berevolusi”.

Untuk livery hitam matte ini, Toyota Gazoo Racing turut akan menggunapakai terhadap jentera GR010 Hybrid yang akan beraksi dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship (WEC).

Menurut Presiden Toyota, Akio Toyoda, sebelum ini mereka menggunakan warna merah dan putih yang mewakili negara Jepun akan tetapi telah banyak jentera yang menggunakan warna yang serupa. Jadi telah sampai masanya mereka berubah.

Sungguh pun ini adalah sebuah jentera yang bertaraf juara, namun Toyota tidak akan mengambil mudah dengannya. Malah Toyota masih lagi bercadang untuk terus memberikan kerja kerja tingkat taraf terhadap model Rally1 mereka ini.

Seperti tahun ini, jentera GR Yaris Rally1 ini telah menerima perubahan yang agak ketara dengan perubahan pada corong udara ke bahagian sistem hibrid pada sisi jentera. Mungkin boleh diduga, Tom Fowler selaku Pengarah Teknikal akan melakukan beberapa perubahan dari aspek aerodinamik membabitkan pada Wing dan juga cermin sisi.

Memandangkan regulasi asas untuk kelas Rally1 ini masih lagi tergunapakai, maka Toyota masih lagi menggunakan jentera GR Yaris Rally1 yang sama untuk WRC 2024. Ianya masih lagi menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama restrictor yang dihadkan 36 mm serta mampu menghasilkan kuasa sekitar 380 HP.

Dan setiap jentera yang beraksi dalam kelas Rally1 ini, akan dibekalkan sistem hibrid daripada Compact Dynamics bersama motor elektrik yang menghasilkan kuasa tambahan sekitar 100 kW serta 180 Nm. Ianya mampu memecut dengan kuasa maksimum sehingga 500 HP apabila pemandu mengaktifkan kuasa boost yang ada pada jentera Rally1.

Tugas berat menanti Elfyn Evans untuk memikul tanggungjawab sebagai pemandu utama bagi mengutip mata untuk pasukan serta memburu mata bagi kejuaraan WRC. Beliau akan dibantu oleh pemandu Jepun Takamoto Katsuta yang dinaikkan pangkat ke pemandu tetap untuk memandu jentera kedua.

Manakala Kalle Rovanpera dan Sebastien Ogier akan berkongsi memandu jentera ketiga mengikut giliran yang masih belum ditetapkan bagi musim 2024 nanti.

BACA : TOYOTA GR YARIS RALLY2 BAKAL DIDEDAHKAN DI RALI JEPUN?

BACA : TOYOTA GR YARIS RALLY1 – PENCABAR SEBENAR KEJUARAAN WRC 2022

Google ads

B K

Back to top button