Artikel Pilihan

TOYOTA GR YARIS RALLY1 – PENCABAR SEBENAR KEJUARAAN WRC 2022

Masih segar dengan kejayaan berganda menerusi kejuaraan WRC kategori Pemandu dan Pengeluar, pasukan Toyota Gazoo Racing juga sebenarnya telah bersedia untuk mempertahankan tahta kejuaraan bagi mengharungi musim 2022 menerusi jentera hibrid terbaharu mereka, Toyota GR Yaris Rally1.

Sedangkan model jalanan Toyota GR Yaris pun turut dinantikan oleh peminat kereta di seluruh pelosok dunia, apatah lagi model Rally1 ini. Asalnya Toyota sememangnya mahu menggunakan casis Toyota GR Yaris sebagai jentera WRC bagi kempen 2021 namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia maka hasrat tersebut dipendamkan begitu sahaja oleh pasukan Toyota pada tahun 2020. Alang – alang kata mereka, kita tunggu sahaja model hibrid pada tahun 2022. Dan inilah dia, pengganti kepada model Toyota Yaris WRC.

Sebetulnya Toyota GR Yaris Rally1 ini telah pun beberapa kali menjalani ujian berperingkat sepanjang musim 2021 ini di benua Eropah bagi menguji komponen dan mengumpul data penting bagi memastikan produk akhir mereka cukup berupaya menjejakkan kaki di podium. Dan orang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan GR Yaris Rally1 ini adalah Tom Fowler selaku Pengarah Teknikal Toyota Gazoo Racing.

Alangkan melihatkan model jalanan GR Yaris sudah membuatkan kita berasa teruja, apatah lagi melihatkan rekabentuk GR Yaris Rally1 ini walaupun masih berpelekat samaran. Cukup garang dan persis kapal angkasa. Tengok dari depan dah garang. Tengok dari sisi pun lagilah garang.

Paling ketara sudah tentulah terdapatnya corong di sisi cermin belakang. Apakah jadahnya? Itu sebenarnya merupakan saluran udara bagi menyejukkan sistem bateri yang terdapat di bahagian belakang. Kata model hibrid kan. Sudah tentu sistem penyejukkan merupakan sangat kritikal apatah lagi jika dibawa berlumba secara lasak sebegini.

Begitu juga dengan rekaan spoiler belakang yang kelihatan cukup besar. Hampir memenuhi ruangan cermin belakang GR Yaris ini. Sudah tentu ianya bukan sembarangan rekaannya tetapi demi mendapatkan downforce yang sepatutnya ketika jentera rali ini memecut laju.

Terkini, Toyota GR Yaris Rally1 ini baharu sahaja selesai menjalani ujian di Catalonia dengan giliran Kalle Rovanpera mengujinya. Dengar khabar Prinsipal pasukan Jari-Matti Latvala turut mengintai peluang untuk menguji jentera rali generasi terbaharu ini.

BACA : TOYOTA GAZOO RACING UMUM BARISAN PEMANDU UNTUK MUSIM 2022

BACA : M-SPORT FORD MULA MENGUJI MODEL RALLY1 UNTUK MUSIM WRC 2022

Google ads

B K

Back to top button