Artikel Pilihan

TOYOTA GR YARIS RALLY2 BAKAL DIDEDAHKAN DI RALI JEPUN?

Jentera rali Toyota GR Yaris Rally1 barangkali telah diakui akan kehebatannya dalam pentas kelas premier WRC. Tapi tahukah bahawa Toyota merupakan satu satunya jenama yang tidak mempunyai wakil dalam kelas R5/Rally2 sebelum ini berbanding jenama lain yang beraksi dalam FIA WRC.

Ford Fiesta melalui jentera R5/ Rally2 telah dua kali mendapat perubahan kosmetik dan teknikal. Musim ini pula menyaksikan kehebatan model Hyundai i20 N Rally2 yang menyerlah dalam perlumbaan WRC. Paling handal sudah tentulah Skoda Fabia. Terkini mereka baharu sahaja melancarkan generasi terbaharu jentera Rally2 mereka menerusi pengenalan model Skoda Fabia RS Rally2. Tak main kelas Rally1 pun tidak mengapa asalkan jentera Rally2 mereka cukup hebat dan popular diserata benua.

Tapi bagaimana pula dengan Toyota? Setelah beberapa tahun hanya memfokuskan terhadap jentera WRC / Rally1 mereka, kini sudah sampai masanya pasukan Toyota untuk memperkenalkan jentera terbaharu, Toyota GR Yaris Rally2. Dan ianya dijangkakan model yang dinantikan ini bakal membuat kemunculan istimewa sewaktu FORUM8 Rally Japan (10 – 13 November) nanti.

Khabarnya, bekas juara WRC empat kali dari Finland, Juha Kankkunen bakal dipertanggungjawabkan untuk memandu buat pertama kali jentera Toyota GR Yaris Rally2 di khalayak umum sewaktu perlumbaan rali di Jepun itu nanti. Lebih tepat lagi, Juha Kankkunen bakal memandu jentera yang cukup berahsia ini sewaktu SS di Okazaki pada hari Sabtu perlumbaan.

Ada laporan mengatakan bahawa pasukan Toyota Gazoo telah pun mengujinya terlebih dahulu secara rahsia di permukaan gravel di Finland, yang jauh daripada akses jalanraya utama dengan menjadikan pangkalan di Jyväskylä sebagai lokasi pembinaan Toyota GR Yaris Rally2 ini.

Sudah pasti model Rally2 daripada Toyota ini cukup dinantikan buat penggiat rali di seluruh dunia bagi membeli secara rasmi bagi kegunaan perlumbaan serantau. Umum juga mengetahui bahawasanya sebelum ini hanya terdapat model Toyota GR Yaris AP4 yang dibina secara persendirian. Namun yang pasti, mereka harus menunggunya setidaknya sehingga tahun 2024 bagi memesannya.

BACA : TOYOTA GR YARIS AP4 BAHARU MULA MENUNJUKKAN TARINGNYA DI PEMBUKAAN ARC 2021

BACA : TOYOTA GR YARIS AP4 PULA MENDARAT DI INDOENSIA. KAYA SULTAN BETUL PEMILIKNYA KAN?

Google ads

B K

Back to top button