Buletin

LORI J&T TERBABAS, PEMANDU RENTUNG

Seorang lelaki rentung selepas lori yang dipandunya terbabas di jalan berhadapan RTM Johor Bahru, Jalan Tasik Utara-Larkin, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku pada pukul 11.46 pagi itu meragut nyawa pemandu lori, Muhammad Mustaqim Ismandi, 23.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba, Suhaimi Jamal berkata, kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori J&T Express lima tan di lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa yang tersepit dan rentung di dalamnya. Anggota bomba membuat pemadaman dan cuba mengeluarkan mangsa.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa difahamkan memandu lori berkenaan berkonvoi dengan sebuah lagi lori sebelum kejadian berlaku. Ketika di lokasi kejadian, mangsa cuba mengelak kon yang berada di atas jalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan.

Orang awam dilihat cuba membantu bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa, namun api marak dengan cepat. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button