Buletin

LORI BAWA MUATAN BATERI TERBAKAR DI TOL BUKIT JELUTONG

Tular di media sosial video rakaman orang awam yang memaparkan sebuah lori meletup dan terbakar di tepi Lebuh Raya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), tengah hari tadi.

Ramai yang mendakwa lori tersebut membawa muatan mercun kerana menghasilkan bunyi letupan yang kuat disusuli api terbakar dengan marak.

Sebaliknya, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan hari ini mengesahkan lori tersebut membawa muatan bateri.

Ujarnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.35 tengah hari sebelum bergerak ke lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong.

Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori satu tan dimana nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti yang membawa muatan bateri terbakar 100 peratus.

Bagaimanapun, operasi yang disertai tujuh anggota dan sebuah jentera itu tidak melibatkan sebarang mangsa.

Dalam pada itu, aliran trafik dilaporkan perlahan dari laluan masuk plaza tol Shah Alam adalah punca kesesakan dari Bukit Jelutong – Shah Alam sebelum beransur lancar setelah pemadaman api dibuat. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button